Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketika kemuncaknya, wabak Covid-19 menjejaskan sistem penjagaan kesihatan Malaysia apabila wabak itu meragut 37,189 nyawa.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustaffa, jumlah kematian berkurangan dengan ketara sejak kebelakangan ini, dengan tiga kematian setakat bulan ini dan 8 kematian dicatatkan pada Oktober lalu.

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, Zaliha berkata banyak pengajaran yang diperolehi daripada wabak itu.

“Jika anda bertanya sejauh mana kita bersedia untuk menghadapi satu lagi wabak, kita perlu sentiasa bersedia, terutamanya setelah belajar daripada wabak itu.

“Kita telah belajar bagaimana menguruskan tenaga kerja, peralatan dan bekalan perubatan.

“Kita juga sedang meninjau untuk bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melihat pembangunan vaksin, dan badan serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Asean, dari segi perolehan di masa depan.

“Dari segi kesiapsiagaan, buat masa ini kita masih memantau kes Covid-19, tetapi pada masa ini laporannya tidak sampai 300 kes sehari, jadi itu petanda ia sudah terurus,” kata Zaliha.

Ditanya sama ada kesan vaksinasi adalah penting untuk menguruskan wabak itu, dia menjawab: "Saya akan kata begitu."

Zaliha mengakui walaupun kesan vaksinasi adalah jelas bagi mereka yang faham secara saintifik namun lebih banyak tugas perlu dilakukan sekiranya situasi sama berlaku memandangkan ramai rakyat Malaysia masih ragu-ragu mengenainya.

"Ini bermakna tugas memberikan pendidikan masih perlu dilakukan agar mesej itu sampai kepada orang ramai," katanya.

Tambahnya, pembangunan vaksin bukanlah satu proses stagnanasi, sebaliknya merupakan suatu proses yang dinamik.

“Kini dunia pun bercakap tentang vaksin monovalen dan tidak lagi mengenai vaksin bivalen, jadi sentiasa ada perkembangan terkini.

"Pada satu ketika ia adalah mengenai varian yang berbeza, tetapi akhirnya ia menjadi sub-varian Omicron," kata Zaliha.

Proses berterusan

Tahun lalu, formulasi vaksin Covid-19 dikemas kini kepada formulasi bivalen yang menyasarkan varian Omicron serta strain asal yang pertama kali dikesan di Wuhan.

Formulasi tahun ini dikemas kini dengan formulasi monovalen berdasarkan varian XBB.1.5.

Kedua-dua formulasi yang dikemas kini tidak tersedia di Malaysia.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menmaklumkan kerajaan mengalami kerugian RM505 juta akibat vaksin Covid-19 yang tamat tempoh.

Jumlah itu melibatkan kira-kira 8.5 juta dos vaksin yang tamat tempoh pada 1 Jun tahun ini.

Minggu lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata kementeriannya sedang memperkukuh ekosistem vaksin negara bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang ancaman wabak pada masa hadapan.

Dia berkata ia memberi tumpuan kepada pengeluaran vaksin untuk manusia melalui kerjasama yang lebih baik antara agensi dan industri, di dalam dan luar negara dan ia telah menyalurkan dana berjumlah RM33 juta untuk pelaksanaan 13 projek penyelidikan vaksin dari 2021 hingga September tahun ini.

"Apabila anda bertanya kepada saya tentang kesediaan, saya rasa kita sudah cukup bersedia tetapi sudah tentu dari segi perkembangan vaksin, ia adalah proses yang berterusan," kata Zaliha.

Ini adalah Bahagian 3 wawancara kami.

Baca Bahagian 1: Zaliha sasar pertengahan 2024 bagi selesaikan isu doktor kontrak

Bahagian 2: Zaliha mahu terap dasar keputusan berdasarkan rundingan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS