Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Orang muda sokong PN, tinggal orang tua tak reti bahasa

PRK KEMAMAN | Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan betapa PN berjaya mendapat sokongan golongan pengundi muda pada PRU ke-15 dan pilihan raya negeri (PRN) lalu.

“Alhamdulillah PRU15 dan PRN baru-baru ini gelombang orang muda (berlaku), orang muda-muda yang umur 21, 40 (tahun) ini sokong kita.

“Majoriti sokong kita belaka, yang tinggalnya orang tua-tua yang tak reti bahasa. Yang tua (usia) 60, 70, yang berkarat hijau ini tak payah kiralah.

“Apabila kita ajak mengundi, dia kata masa zaman Jepun dulu susah lagi, loning (sekarang) senang dah boleh ke laut, boleh sembahyang orang tak ganggu. Dia kira begitu saja.

“Dia tak faham politik, tapi orang muda-muda faham dan bersama dengan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam ceramah perdana di Dewan Sivik di Kijal, malam tadi.

Program itu turut dihadiri calon PN yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang berdepan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam PRK berkenaan.

Pun begitu, Abdul Hadi berkata golongan pengundi saluran satu dan dua itu perlu dipujuk supaya menyokong PN.

“Undi polis, tentera dan pegawai kita (PN) menang... Masalahnya undi saluran satu, saluran dua.

“Yang ini (golongan tua) kalau boleh dipujuk, pujuk. Kalau (tak sokong PN) buang masa tak payah pujuk, biarkan saja,” ujarnya.

Ahli parlimen Marang itu juga berkata PRK Kemaman kali ini sangat penting untuk menolak Umno.



“Ini kerana Umno yang bertanding kini adalah Umno yang bergabung dengan DAP dan PKR. Umno yang meninggalkan perjuangan Islam dan bangsa Melayu. Ini kena ingat, orang Umno kena tahu.

“Kena tahu Umno yang ada ini berpakat dengan DAP, berpakat dengan PKR yang pragmatik, yang liberal, yang menjahanamkan negara. Kita kena jatuhkan dan kalahkan,” katanya.

Untuk rekod, PAS pernah tiga kali bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik menghadapi pilihan raya umum pada 1999, 2008 dan 2013.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS