Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli akademik menggesa perbincangan lanjut mengenai isu meritokrasi yang disampaikan oleh graduan terkemuka Nahvin Muthusamy semasa berucap pada majlis anugerah Anugerah Pelajaran Diraja.

Pengerusi Majlis Profesor Negara Shamsul Amri Baharuddin memuji Nahvin yang menyuarakan perkara tersebut.

“Adalah bagus untuk dia bersuara. Tetapi kita mesti melibatkan diri untuk memastikan ada perubahan yang sewajarnya, bukan hanya sesuatu yang akan dilupakan pada minggu depan," katanya kepada Malaysiakini.

Shamsul berkata isu berkenaan berkembang secara beransur-ansur dan secara amnya sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970-an.

"Walaupun terdapat kaitan antara pembasmian kemiskinan dan pendidikan, dia tidak gembira dengan tindakan afirmatif itu dan cara ia telah dimanifestasikan," kata Shamsul.

Kata Shamsul lagi, terdapat banyak perkara yang perlu dibincang melibatkan isu meritokrasi.

“Saya baru saja membantu rayuan seorang gadis India yang mendapat straight As dalam STPM tetapi tidak SPM, untuk membantunya dalam permohonan pengajian perubatan.

“Sekarang anda lihat walaupun dengan kuota, masih ramai orang Cina dan India dalam bidang perubatan dan sains, sedangkan anda mempunyai ramai orang Melayu dalam bidang sains sosial.

“Bagi saya itu berkaitan kegagalan pengajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) di peringkat lain.

"Kita juga perlu bertanya mengapa ramai pelajar lepasa SPM yang tidak mahu melanjutkan pelajaran," soalnya.

Pemenang Anugerah Pendidikan Diraja Nahvin Muthusamy memberitahu Malaysiakini dia menggunakan peluang bersuara kerana diberi kesempatan berucap pada majlis itu.

Katanya, ucapannya itu bertujuan menarik perhatian terhadap isu kekurangan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara, khususnya untuk menghormati rakannya yang sudah tiada lagi.

“Menangani isu ketidakadilan dalam pendidikan menjadi topik yang dekat di hati saya, terutama menyaksikan rakan-rakan yang walaupun memiliki kelayakan yang cemerlang, berdepan cabaran dalam mendapatkan penempatan,” kata Nahvin yang baru menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan sains komputer (kecerdasan buatan) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) awal bulan ini. Ucapannya disiarkan secara dalam talian oleh UTeM dan petikan ucapannya turut tersebar di media sosial.

Anugerah Pelajaran Diraja diberikan secara tahunan kepada dua pelajar dari setiap 20 universiti awam.

Anugerah tersebut berdasarkan kaum - iaitu satu anugerah untuk pelajar bumiputera dan satu lagi untuk bukan bumiputera.

Sementara itu, Shamsul juga ditanya mengenai hak Nahvin untuk bersuara pada majlis penganugerahan itu.

Jelasnya, keterbukaan merupakan sesuatu yang baik untuk negara sejak selepas pilihan raya 2018 apabila pentadbiran Umno/BN yang berkuasa sebelum ini ditewaskan.

“Sejujurnya, ini tidak lebih berbanding protes pelajar yang kita ada pada 1970an apabila pemimpin seperti (perdana menteri semasa) Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA.

“Pernah pada 1980-an, mereka membawa 2000 motosikal ke kampus UKM untuk membantah perubahan peraturan.

"Jadi, saya percaya mengenai pelajar perlu bersuara.

Pemikiran kritis pensyarah

"Kita perlu bertanya kepada diri sendiri ... mengapa ini berlaku?

“Pasti pensyarah universiti boleh menggunakan pemikiran kritis mereka untuk perkara ini," kata Shamsul lagi.

Cendekiawan bebas Sharifah Munirah Alatas pula berkata dia menyokong sentimen Nahvin tetapi pada dasarnya menentang anugerah yang diterima pelajar itu kerana ia berdasarkan kaum.

"Tidak betul untuk memberikan dua kategori anugerah berdasarkan kaum, dan apabila salah satu atau kedua-dua penerima menerima anugerah itu dan dalam nafas yang sama bersuara menentang kuota berasaskan kaum. Saya mendapati ini ada masalah.

"Secara prinsipnya, saya menerima semua yang dikatakan dan menyokong Nahvin," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS