Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan fitnah: Fadlina tuntut RM500,000 dari MP Jasin, Harakahdaily
Diterbitkan:  Nov 22, 2023 1:40 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Fadhlina Sidek memberi Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dan Harakahdaily 48 jam untuk membayar RM500,000 atas dakwaan fitnah.

Ini atas tuduhan Menteri Pendidikan mengarahkan sekolah di seluruh negara tidak bertakbir dan membaca qunut nazilah semasa Minggu Solidariti Palestin.

Ahli parlimen PKR Nibong Tebal itu mengemukakan tuntutan ini kepada ahli parlimen PAS dan lidah rasmi parti itu pada surat peguam semalam berhubung artikel Harakahdaily bertajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir di Sekolah?” terbit pada 6 Nov.

Menurut surat guaman bertarikh 21 Nov itu, Fadhlina berkata dakwaan artikel itu tidak benar bahawa dia dan Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan larangan terhadap sekolah untuk bertakbir atau membaca qunut nazilah semasa Minggu Solidariti Palestin.

Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail.

Fadhlina menegaskan artikel itu membayangkan dia telah menyimpang daripada akidah Islam, tidak jujur dan merosakkan nama baiknya sebagai menteri pendidikan.

Selain ganti rugi RM500,000, Fadhlina memberi tempoh 48 jam untuk kedua-dua Zulkifli dan Harakahdaily menurunkan artikel dalam talian itu dan membuat permohonan maaf tanpa syarat kepadanya.

Dia juga menuntut akujanji bertulis daripada Zulkifli dan Harakahdaily untuk berikrar tidak mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu serta menanggung semua kos guamannya.

Pasukan guamannya daripada firma guaman Ibrahim & Fuaadah juga menyatakan bahawa kegagalan kedua-dua pihak untuk mematuhi tuntutan Fadhlina itu akan menyebabkan dia memulakan tindakan undang-undang di mahkamah tanpa notis lanjut kepada mereka.

Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang anggota pasukan peguam Fadhlina mengesahkan surat tuntutan itu.

Malaysiakini cuba menghubungi peguam yang mewakili Zulkifli dan Harakahdaily berhubung tuntutan menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS