Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Acara NGO dikaitkan dengan mufti tangguh kerana isu tauliah
Diterbitkan:  Nov 22, 2023 12:25 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Acara sebuah NGO yang dikaitkan dengan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin ditangguhkan setelah ahli panelnya gagal mendapat tauliah khas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia mengumumkan penangguhan konvensyen bertajuk “Pemikiran Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam Pembentukan Negara Madani” itu di media sosialnya sebentar tadi.

“Kami selaku pihak penganjur berasa sangat kesal atas halangan yang diberikan ini,” kata pertubuhan itu.

Pertubuhan itu juga berkata peserta boleh menuntut wang pendaftaran mereka dengan mengisi borang di http://bit. ly/borang-refund sebelum 26 Disember.

Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia turut berkongsi surat penolakan itu. 

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat menyiarkan kandungannya kerana status sulit surat itu.

Asri sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat pertubuhan itu. Bagaimanapun tidak jelas sama ada dia masih memegang jawatan sama.

Berdasarkan poster, dia terlibat dalam acara membincangkan pemikiran ulama besar kontemporari Islam kelahiran Mesir yang meninggal pada 26 September lepas itu.

Sementara itu, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberikan lampu hijau supaya acara membincangkan pemikiran Yusuf Al-Qaradawi di ibu negara Ahad ini diteruskan.

“YAB PMX baru sahaja bercakap dengan saya bahawa program hendaklah diteruskan,” katanya menjawab soalan Malaysiakini sebentar tadi.

Gambar Anwar juga dimuatkan dalam poster itu tetapi tidak jelas sama ada dia akan menyertainya atau tidak.

Anwar sendiri amat menghormati Yusuf Al-Qaradawi yang dirujuk sebagai sahabat dan pakar rujuknya dalam isu-isu agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS