Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hakim dedah pernah jadi peguam nasihat syarikat berkait pengasas MyAirline

Seorang hakim mahkamah sivil mendedahkan dia sebelum ini pernah menjadi peguam untuk sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pengasas MyAirline Goh Hwan Hua, yang disaman oleh 15 pelabur.

Lantaran itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Adlin Abdul Majid pagi ini menangguhkan pendengaran kes ke 27 Nov untuk membenarkan peguam bagi pelabur serta Goh memikirkan sama ada untuk meminta dia menarik diri atau tidak daripada mendengar kes tersebut.

Ini, kata hakim tersebut berhubung potensi konflik kepentingan.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk mendengar permohonan Goh dan empat defendan lain untuk membatalkan tuntutan mahkamah oleh 15 plaintif berhubung dakwaan kegagalan membayar jumlah nilai penebusan bulanan daripada pelaburan lebih RM8 juta yang dikaitkan dengan I-Serve Online Mall Sdn Bhd (ISOM).

Pengasas MyAirline Goh Hwan Hua.

Peguam mewakili 15 pelabur itu, Rajesh Nagarajan berkata bahawa Adlin pagi ini mendedahkan kepada pihak bahawa dia pernah menasihati I-Serve Technology, sebuah firma yang dikaitkan dengan salah seorang defendan, ISOM.

Rajesh berkata Adlin menyebut peranannya sebagai penasihat berlaku ketika dia masih seorang peguam dan sebelum menjadi hakim.

“Jadi mungkin ada konflik (kepentingan jika Adlin mendengar perkara itu).

“Oleh itu, peguam perlu mendapatkan arahan daripada anak guam masing-masing (sama ada mahu meminta hakim menarik diri daripada kes itu),” kata Rajesh.

Peguam itu berkata Adlin telah menetapkan 27 Nov untuk pengurusan kes bagi mengemas kini sekiranya plaintif dan defendan mempunyai sebarang bantahan terhadapnya untuk terus mendengar tindakan saman itu.

Menurut saman itu, 15 individu menyaman Goh - yang mengasaskan syarikat penerbangan bajet bermasalah MYAirline - dan empat defendan lain - ISOM, Bright Moon Venture PLT (BMV), QA Smart Partnership PLT (QAS), dan Trillion Cove Holdings Berhad (TCH) - atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari dan harus dipertanggungjawabkan secara peribadi ke atas kerugian yang dialami oleh pelabur.

Plaintif, berumur antara 58 dan 74, mendakwa antara lain bahawa Goh telah mengadakan panggilan persidangan dengan mereka membuat representasi mengenai isu berterusan yang dihadapi oleh ISOM dan kesan yang akan atau tidak akan berlaku terhadap pulangan bulanan pelabur.

15 individu itu menegaskan ISOM, TCH, dan firma lain telah diserbu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 11 Nov 2021, dan perintah pembekuan didakwa telah dikeluarkan terhadap syarikat tersebut.

Plaintif menuntut pembayaran balik harga langganan RM8 juta serta pembayaran balik tunggakan penebusan bulanan terhutang dan faedah tahunan lima peratus ke atas mana-mana jumlah penghakiman yang diberikan, antara relif lain yang diminta.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS