mk-logo
Berita
Kembar maut dalam perjalanan ke tempat kerja
Diterbitkan:  Nov 22, 2023 9:48 AM
Dikemaskini: 1:48 AM

Sepasang kembar lelaki berusia 18 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Rezab Derahman, Jeram dekat Shah Alam ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11.50 pagi semalam itu mengakibatkan kedua-dua pemuda itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati motosikal yang dinaiki pasangan kembar itu cuba memotong sebuah van yang berada di laluan sama, bagaimanapun, van tersebut membelok ke kanan dan menyebabkan mangsa terlanggar bucu depan sebelah kanan van itu lalu hilang kawalan dan terbabas," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pasangan kembar itu menetap di Jeram dan bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier di Puncak Alam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS