Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Agus, Wahab' dijadikan contoh supaya kerajaan kembalikan Karnival Kerjaya

Kalam Salan (PN- Sabak Bernam) meminta kerajaan supaya mengadakan kembali Karnival Kerjaya yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini bagi manfaat orang ramai.

Dengan memberikan contoh "Agus" dan "Wahab", Kalam berkata tidak semua celik teknologi digital dan mampu memohon pekerjaan secara dalam talian yang digunakan ketika ini.

Dengan mewujudkan satu situasi, Kalam berkata Agus seorang yang mahir komputer dan internet, manakala Wahab pula tidak celik komputer.

"Agus celik komputer pandai dan cekap layari internet, tapi Wahab tak pandai guna komputer apatah lagi internet.

"Sudah tentu Agus lebih berpotensi untuk mendapatkan pekerjaan pengambilan secara online berbanding Wahab...Wahab pula tak padai guna komputer, tak ada e-mel, tak ada password (kata laluan), tak ada ID.

"...Sudah tentu dia (Wahab) akan mohon juga, tetapi dengan keupayaan terbatas," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Kalam mengambil bahagian pada sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia.

Usikan itu mengundang ketawa kecil sebilangan anggota parlimen PN.

Sebelum ini, tular video perbualan lucah yang didakwa melibatkan bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff dan pekerja baru jabatan itu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Mereka berdua menafikan berbual lucah dan berkata rakaman suara itu direka susulan “konspirasi” orang dalam J-Kom sendiri yang didalangi oleh “Mr H”.

Perkara itu kini dalam siasatan polis.

Sementara itu, Kalam berkata Karnival Kerjaya adalah penting bag membantu mereka yang tidak celik teknologi maklumat serta komputer untuk mendapatkan pekerjaan.

Melalui cara ini, mereka yang tidak celik teknologi digital dapat bertemu pihak sepatutnya bagi memohon pekerjaan.

"Di sinilah peri pentingnya program Karnival Kerjaya diadakan semula dan dalam hal ini Wahab tak perlu malu walaupun dia tak pandai guna komputer.

"Kerana di karnival itu nanti Wahab boleh berinteraksi secara face to face dengan pegawai dari jabatan atau agensi lain," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS