Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan cekup lelaki kencing di parkir pasar raya
Diterbitkan:  Nov 21, 2023 3:24 PM
Dikemaskini: 3:46 PM

Seorang lelaki warga Australia yang dipercayai suspek dalam sebuah video tular kencing di parkir sebuah pasar raya telah ditahan polis hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan satu laporan telah dibuat pada 19 Nov berkaitan sebuah video tular yang menunjukkan rakaman seorang lelaki sedang kencing pada salah satu tiang di parkir sebuah pasar raya.

"Hasil semakan mendapati suspek datang ke Malaysia bertujuan melawat keluarga dan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Dalam video berdurasi 50 saat itu, perakam sempat menegur perbuatan lelaki berkenaan dengan memberitahu bahawa pusat beli-belah berkenaan mempunyai tandas dan menyelar tindakannya itu sebagai tidak bertamadun.

Namun, lelaki itu hanya membalas "yes, sorry" sambil berjalan masuk ke keretanya dengan pantas dan beredar.

Wanita tersebut turut merakam kesan air kencing pada tiang berkenaan dalam rakaman yang dipercayai pada 16 Nov lalu.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai berkelakuan aib di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (AKTA 336).

"Orang ramai dinasihat supaya tidak melakukan perkara yang mendatangkan aib dan kegusaran kepada orang awam," kata Wan Azlan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS