Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musibah banjir: Azan rayu PM tangguh konsert Coldplay

NOTA EDITOR: Laporan ini telah dikemas kini dengan pembetulan jawatan Azan Ismail sebagai ketua cabang PH Kuala Terengganu.


Seorang pemimpin peringkat Cabang Pakatan Harapan (PH) Terengganu merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memberi pertimbangan untuk menangguhkan penganjuran konsert kumpulan muzik antarabangsa Coldplay.

Ketua PKR Cabang Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata pihaknya melihat langkah itu perlu memandangkan sebahagian negeri khususnya di Pantai Timur berdepan bencana banjir.

“Kita melihat isu ini bukanlah isu agama seperti diperbesar-besarkan pihak pembangkang.

“Tetapi atas dasar menjaga sensitiviti dengan keadaan semasa yang berlaku pada musim tengkujuh di negeri Pantai Timur ini.

“Adalah tidak sesuai saya rasa program berbentuk hiburan diteruskan ketika rakyat menghadapi musibah banjir yang kini mula berlaku di Terengganu dan Kelantan,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas perkembangan mengenai isu tersebut susulan jawapan oleh Anwar di Dewan Rakyat.

Pandangan Azan itu bagaimanapun tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi PKR Terengganu.

Terdahulu perdana menteri dilaporkan antara lain memberi jaminan bahawa dia akan membincangkan perkara itu dengan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.

Ini selepas Luqman menggesa supaya konsert kumpulan muzik dari United Kingdom itu dibatalkan.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata kumpulan Coldplay juga menyokong Palestin dan konsert itu diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

“Coldplay ini antara kumpulan yang menyokong Palestin, jadi ada masalah sikit (mengapa harus dibatalkan).

“Kerajaan lalu telah luluskan juga. Jadi, saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini,” kata Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS