Seramai 28 bayi kelahiran pramatang yang dipindahkan dari Hospital Al Shifa yang terkepung di Gaza telah selamat dihantar ke Mesir untuk rawatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Mereka dibawa ke Hospital Al Arish di Sinai Utara bersempadan dengan Gaza.
Dari situ, 12 bayi telah diterbangkan ke Kaherah untuk rawatan lanjut.
Tiga bayi pramatang yang dipindahkan dari Al Shifa dirawat di Hospital Emirati di selatan Gaza.
“Semua bayi sedang melawan jangkitan serius dan kondisi lain dan memerlukan rawatan perubatan khusus,” kata ketua pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus
Dia berkata misi evakuasi itu diketuai Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, sebuah pertubuhan yang disokong oleh WHO.
Bayi itu antara ratusan pesakit di hospital terbesar di Gaza, yang telah diserang oleh tentera Israel.
Menyasarkan kemudahan perubatan merupakan jenayah perang, tetapi tentera Israel berkata Hamas menggunakan hospital itu sebagai pusat arahan, menjadikannya sasaran yang sah.
Tentera Israel mendakwa menemui beberapa senjata dan terowong di Hospital Al Shifa.
Hamas telah menafikan perkara ini dan menggesa badan antarabangsa bebas untuk memeriksa hospital untuk mengesahkan dakwaan tentera Israel itu.
Empat bayi meninggal dunia
Al Jazeera sebelum ini melaporkan 39 bayi pramatang terpaksa dikeluarkan dari inkubator mereka selepas hospital kehabisan bahan api untuk menjana elektrik berikutan serbuan tentera Israel.
Doktor berkata empat bayi maut semasa serbuan itu, lapor penyiar itu.
Dr Ahmed Mokhallalati, ketua jabatan pembedahan plastik hospital berkata 43 daripada 63 pesakit di unit rawatan rapi meninggal dunia selepas bekalan oksigen di situ kehabisan, lapor penyiar AS ABC News.
Pada hari Sabtu, tentera Israel mengarahkan doktor, pesakit dan pelarian yang berlindung di perkarangan hospital untuk berpindah dan memaksa beberapa orang pergi mengacukan senjata, lapor Al Jazeera.
Bagaimanapun, WHO berkata ramai pesakit berada dalam keadaan kritikal dan tidak boleh bergerak kerana kecederaan mereka.
Pada 20 Nov, pihak berkuasa kesihatan tempatan berkata angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.
Jumlah kecederaan pula melebihi 30,000 orang dengan lebih 75 peratus daripada mereka kanak-kanak dan wanita, lapor Agensi Anadolu.
Jumlah penduduk Gaza yang hilang melepasi 6,000 orang dengan kebanyakan mereka disyaki tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Kira-kira 1,400 orang pula terbunuh dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt, manakala lebih 200 orang telah dijadikan tebusan.