Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak negeri pertama lulus undang-undang pelepasan karbon

Sidang DUN Sarawak semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023, menjadikan ia negeri pertama meluluskan undang-undang seumpama itu di negara ini.

Rang undang-undang itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

"Rang undang-undang ini dirangka untuk melindungi alam sekitar Sarawak dengan melaksanakan strategi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," katanya ketika menggulung rang undang-undang itu sebelum ia diluluskan pada persidangan DUN Kuching.

Dia berkata rang undang-undang itu juga bertujuan menggalakkan penangkapan dan penyimpanan karbon serta mengurangkan kesan perubahan iklim, di samping memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk mengambil bahagian dalam projek mitigasi kesan pemanasan global dan memperoleh kredit karbon atas usaha mereka.

Pendapatan baru, penentuan harga

"Aktiviti-aktiviti ini akan membolehkan negeri mempunyai sumber pendapatan baru yang akan meningkatkan keupayaan negeri ke arah membangunkan negeri secara mampan dari segi ekonomi," katanya.

Sharifah Hasidah berkata selepas ini, kerajaan Sarawak bercadang untuk menubuhkan panel penasihat bagi menangani, antara lain, perubahan iklim; penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), kredit karbon dan penentuan harga.

"Pengurangan pelepasan karbon dan kredit karbon yang dikeluarkan untuk projek di Sarawak yang menyumbang kepada pengurangan kesan perubahan iklim akan dilaporkan kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Dia berkata laporan itu akan dimasukkan ke dalam Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC) Malaysia untuk dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Menurut Sharifah rang undang-undang itu juga akan membuka jalan kepada Sarawak untuk mempunyai rangka kerja pengawalseliaan sendiri mengenai tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta mengetengahkan statusnya sebagai satu daripada peneraju tenaga bersih global.

"Dengan adanya ini (rang undang-undang), Sarawak akan setanding dengan negara maju lain seperti Australia dengan Akta Tenaga Hidrogen dan Tenaga Boleh Baharu 2023 baharu mereka," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS