Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PN akan sokong pindaan perlembagaan bagi perjelas bidang kuasa Syariah'

Perikatan Nasional (PN) akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kejelasan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

"Kita mengharapkan supaya satu pindaan perlembagaan dibuat supaya kalau itu ada grey area (kekaburan) yang menunjukkan tentang Mahkamah Syariah, seolah-olah macam ada bertindan dan sebagainya, kita buat, PN bersedia untuk menyokong," kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai ketika ditemui di luar Istana Kehakiman hari ini.

Idris adalah antara 2,500 orang yang berhimpun di Putrajaya hari ini ketika Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan berhubung semakan kehakiman terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Pemohon Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon pengisytiharan bahawa 18 peruntukan itu tidak berperlembagaan kerana ia bertindan dengan undang-undang persekutuan.

Pengkritik Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 seperti Sisters in Islam, Justice for Sisters and Legal Dignity berhujah bahawa undang-undang tersebut telah merampas bidang kuasa mahkamah sivil yang termaktub dalam Perkara 121(1)(a)1 Perlembagaan Persekutuan .

Pengkritik juga berhujah bahawa skop operasi dan penguatkuasaan undang-undang syariah yang lebih luas akan membawa kepada lebih banyak penganiayaan di kalangan golongan rentan.

Selepas mendengar hujahan, Mahkamah Persekutuan hari ini berkata ia akan menyimpan penghakiman untuk tarikh kemudian.

Bagaimanapun, peguam kerajaan Kelantan sudahpun membangkitkan kemungkinan keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS