Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja seru meritokrasi dalam pendidikan
Diterbitkan:  Nov 20, 2023 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja menyeru amalan meritokrasi dalam pendidikan dan perlindungan kepada golongan minoriti di Malaysia.

M Nahvin menyampaikan seruan itu dalam ucapan ketika menerima anugerah tersebut.

Dia memulakan ucapannya dengan mengimbas kembali bagaimana dia diterima untuk masuk ke program matrikulasi, sementara seorang kawannya - yang juga kaum India - yang turut layak tidak diterima.

"Dia berasa kalah, seolah-olah itu pengakhiran kehidupannya. Dia mula merasa kesunyian dan mengalami kemurungan kerana dia percaya dirinya tidak mencukupi.

"Apabila saya memasuki program matrikulasi, saya terkejut kerana terdapat pelajar dengan pencapaian yang bukan sahaja sama dengan dia (kawannya) malah lebih rendah daripadanya.

"Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, sahabat saya kini sudah tiada. Saya jamin kepada anda, jika dia diberi peluang yang sama seperti saya, dialah yang akan berucap pada pagi ini, bukan saya," katanya.

Nhavin berkata, kisah itu bukan sekadar tentang dirinya sahaja, tetapi kisah golongan minoriti.

"Pendidikan seharusnya sentiasa tersedia kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Kita perlu memberi keutamaan kepada meritokrasi dalam sistem pendidikan, bukannya sistem kuota yang diperkenalkan parti-parti politik untuk memecah-belahkan dan memisahkan kita.

"Meritokrasi adalah satu-satunya cara untuk melihat masa depan Malaysia yang bersatu dan adil. Saya telah berusaha keras untuk berada di sini, untuk mewakili suara minoriti yang sering kali disorokkan," katanya lagi.

Dia menutup ucapannya dengan menyuarakan harapan agar apa yang diperkatakannya itu sampai kepada kerajaan.

Nahvin menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan sains komputer (kecerdasan buatan) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) awal bulan ini. Ucapannya disiarkan secara dalam talian oleh UTeM dan petikan ucapannya turut tersebar di media sosial.

Anugerah Pelajaran Diraja diberikan secara tahunan kepada dua pelajar dari setiap 20 universiti awam. Anugerah tersebut berdasarkan kaum - iaitu satu anugerah untuk pelajar bumiputera dan satu lagi untuk bukan bumiputera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS