Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 2 petang hari ini bagi memberi keterangan berhubung video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM dikatakan disunting pihak tidak bertanggungjawab, yang tular baru-baru ini.
Mohammad Agus yang berkemeja biru menaiki kereta Toyota Estima tiba di IPD berkenaan ditemani peguamnya Faizal Abd Rahman.
Pagi tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata selain Mohammad Agus yang dipanggil, terdapat lagi beberapa individu lain dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.
Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
- Bernama