Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ahli parlimen pembangkang hari ini mempertahan ketidakhadiran mereka pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat, dengan berkata mereka pergi memberi sokongan kepada ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) berkata, ketiadaan wakil pembangkang di Dewan Rakyat pagi tadi bukanlah perbuatan ponteng.

"Kami selalu hadir dalam Dewan (Rakyat) ini walaupun pagi tadi kami ke Istana Kehakiman untuk memberikan sokongan dan soladiri kepada hukuman syariah.

"Tetapi kami dikatakan ponteng, sebenarnya tak ponteng," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Dia berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan.

Pagi tadi, tiada seorang pun ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

Mohd Isam Mohd Isa (BN- Tampin) bangkit mencelah dan mememaklumkan kepada Speaker bahawa tiada ahli parlimen pembangkang yang hadir pada sesi pertanyaan lisan.

"Tan Sri Speaker, bukan ramai tak hadir. Sorang pun pembangkang tak ada hari ni," kata Mohd Isam.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul membenarkan ahli parlimen membangkitkan tiga soalan tambahan kepada menteri atau timbalan menteri pada sesi pertanyaan lisan.

Malah beberapa soalan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen PN pagi tadi terpaksa dilangkau oleh Speaker kerana ketiadaan wakil rakyat berkenaan.

Soalan berkait pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu); Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) ; Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) serta Ali Biju (PN-Saratok) antara yang naik pada sesi pertanyaan lisan pagi tadi.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang turut tidak berpuas hati apabila pembangkang didakwa ponteng sidang Parlimen membangkitkan persoalan adakah ketidakhadiran beberapa menteri penuh juga boleh disifatkan sebagai ponteng.

"Bolehkah katakan menteri penuh yang tak hadir kecuali Menteri Kesihatan ini ponteng pada masa ini?" katanya ketika mencelah sesi perbahasan Syed Abu Hussin.

Secara ringkas ahli Parlimen Bukit Gantang menjawab: "Menteri mungkin sibuk untuk mengagihkan peruntukan.”

Sementara itu, Shahidan Kassim (PN-Arau) sekali menegaskan bahawa mereka tidak ponteng sidang Parlimen sebaliknya hadir ke Putrajaya bagi memberi sokongan kepada himpunan yang memperjuangkan perundangan syariah.

Jelasnya, dia juga akan merujuk ahli Parlimen yang menyifatkan ketidakhadiran mereka sebagai "pe’el pembangkang" ke jawatan hak dan kebebasan ahli Parlimen.

"Ada orang komen kami tak hadir tadi, sebelah sana (kerajaan) dia sebut inilah pe’el pembangkang, saya bagi amaran kepada orang berkenaan kalau tak jawab saya akan rujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan ahli Parlimen.

"Boleh kata kami (pembangkang) tiap-tiap petang tunggu di Parlimen ini untuk mencukupkan korum, kalau tak korum tak ada, tapi kami tak ada pula kata pe’el kerajaan, ini pe’el pembangkang, baru masuk Parlimen dua tiga hari cakap berlagak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS