Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusannya pada pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
"Kami akan bersidang dan membincangkannya,” kata Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendengar hujahan lisan daripada semua pihak.
Ini bermakna mahkamah tertinggi negara akan membuat keputusan pada hari lain mengenai perkara itu.
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan dewan undangan negeri terbabit bertindak melangkaui bidang kuasa.
Selain Tengku Maimun, panel itu disertai Abang Iskandar Abang Hashim (presiden Mahkamah Rayuan), Mohamad Zabidin Mohd Diah (hakim besar Malaya), Abdul Rahman Sebli (hakim besar Sabah dan Sarawak), serta lima lagi hakim Mahkamah Persekutuan - Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.
Pada prosiding hari ini, Tengku Maimun mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang bersifat menghasut.
Peringatan itu dibuat susulan, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pempetisyen, membawa perhatian mahkamah terhadap kenyataan peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, mengenai isu dalam pendengaran berkenaan.
Menurut Tengku Maimun, kenyataan Yusfarizal Yussoff yang menyentuh sentimen yang tidak sepatutnya dibincangkan dalam khalayak umum ketika prosidng itu masih didengar.
Katanya, mahkamah mengambil maklum kenyataan peguam itu yang antara lain menyatakan prosiding tersebut adalah titik penyudah sebelum kewibawaan Mahkamah Syariah terkubur.
“Kami mengambil maklum dan membuat pemerhatian kerana isu yang dibangkitkan dalam pendengaran ini telah diperkatakan oleh ramai pihak namun ia merupakan versi yang telah diputar belit.
"Banyak pihak yang membicarakan mengenai kes ini di luar dan kenyataan yang dibuat adalah mengelirukan.
"Kami ingin mengingatkan peguam untuk tidak membincangkan mengenai kes ini di khalayak umum,” katanya.
Ketua Hakim Negara itu berkata, tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini.
“Isu dalam pendengaran petisyen itu bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.
“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan Mahkamah Syariah,” katanya lagi.