Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada seorang pun MP pembangkang hadir persidangan hari ini

PARLIMEN l Sebahagian besar ahli parlimen pembangkang dilaporkan berada di stana Kehakiman, Putrajaya hari ini, hingga menyaksikan kerusi barisan pembangkang di Dewan Rakyat kosong.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memberi lebih masa kepada ahli Parlimen untuk membangkitkan sebanyak tiga lagi soalan tambahan.

Malah, beberapa soalan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang juga dilangkau kerana mereka tidak hadir.

Kerusi barisan ahli Parlimen pembangkang pada sesi persidangan pagi ini kosong tanpa kehadiran mana-mana wakil rakyat.

Mohd Isam Mohd Isa (BN- Tampin) bangkit mencelah dan mememaklumkan kepada Speaker bahawa tiada ahli Parlimen pembangkang yang hadir.

"Tan Sri Speaker, bukan ramai tak hadir. Sorang pun pembangkang tak ada hari ni," kata Mohd Isam di Dewan Rakyat.

Jimmy Puah (PH-Tebrau) pula berpantun mengenai ketiadaan wakil rakyat pembangkang ketika membangkitkan pertanyaan lisan.

"Datang Parlimen pembangkang tiada, nasib baik menteri ada, soalan nombor tujuh," katanya.

Disebabkan ketiadaan ahli Parlimen pembangkang, Johari membenarkan tiga pertanyaan tambahan dikemukakan kepada menteri atau timbalan menteri pada sesi pertanyaan lisan.

"Saya tidak nampak ahli Parlimen Tanah Merah di dalam Dewan (Rakyat)," kata Johari yang turut mengalih soalan kepada pertanyaan lain.

Soalan berkait pertanyaan Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu); Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun); Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) serta Ali Biju (PN-Saratok) naik pada sesi pertanyaan lisan pagi ini.

Ahli Parlimen PAS- Bersatu tidak hadir ke Parlimen hari ini dipercayai menghadiri himpunan di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya, pagi ini.

Malaysikini melaporkan lebih 2,000 hadir Himpunan Selamatkan Syariah dan sertai solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman.

Perhimpunan anjuran Perikatan Nasional (PN) itu bagi membantah tindakan dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dua minggu lalu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN- Alor Setar) membangkitkan rasa tidak puas hati apabila menteri gagal hadir tepat masa pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen.

Malah, dia meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta Kabinet memantau kegagalan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS