Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan pertalian komunis: Polis teliti risalah kempen BN, kata Isham Jalil
Diterbitkan:  Nov 19, 2023 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Polis dilaporkan sedang meneliti buku kecil kempen pilihan raya BN sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad atas dakwaannya berkenaan pertalian kekeluargaan dalam DAP.

Bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil berkata dia telah dihubungi polis berkenaan perkara itu.

"Nampaknya Mastura kata dia dapat maklumat itu daripada satu risalah, bahan kempen BN," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook semalam.

Siti Mastura antara lain mendakwa penasihat DAP Lim Kit Siang merupakan sepupu kepada bekas pemimpin komunis mendiang Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew.

Susulan itu, laporan polis dibuat terhadapnya.

Pada Selasa lalu, Siti Mastura menyerahkan "bahan rujukan" kepada polis ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dua hari kemudian, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata dakwaan serupa turut terkandung dalam buku kecil kempen BN untuk PRU lalu.

Seorang bekas pemimpin Pemuda Umno yang kini ahli PAS pula berkata buku kecil itu diedarkan kepada anggota BN sebelum penamaan calon PRU tersebut.

Mengulas lanjut, Isham berkata dia dilantik sebagai ketua penerangan Umno selepas PRU.

Dia digugurkan daripada jawatan itu pada Mac lalu selepas tidak sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Isham yang juga bekas ketua penerangan BN Selangor berkata pasukan penerangan Umno tidak bersekali dengan pasukan komunikasi BN - yang dilaporkan menerbitkan buku kecil tersebut.

"Tetapi saya tak rasa BN keluarkan risalah macam ini," katanya lagi, sambil menambah dia akan memberi kerjasama kepada polis dalam siasatannya, dan menasihati Siti Mastura untuk turut melakukan perkara sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS