Berikutan kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Amanah Perak berharap pengisinya bukanlah dipilih dalam kalangan pempengaruh atau individu yang semata-mata popular.
Ketua Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman, sebaliknya berharap pengganti kepada Mohammad Agus Yusoff perlu dilantik dalam kalangan individu yang benar-benar mahir, kompeten serta 'segar' dalam idea serta pendekatan.
"Jawatan tertinggi J-Kom ini tak perlu kepada individu yang popular semata-mata atau dari kalangan pempengaruh.
"Mungkin status sebegitu suatu kelebihan, tetapi yang lebih penting ialah orang berkenaan ada iltizam dan daya usaha tinggi untuk menjadikan J-Kom agensi penerangan kerajaan yang berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
J-Kom baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila ketua pengarahnya mengemukakan surat peletakkan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mahu 'beralih angin' ekoran mendapat tawaran lain.
Agus merupakan seorang ahli akademik yang bersara sebelum dilantik mengetuai agensi berkenaan pada 2 Feb lalu. Persaraannya berlangsung tidak sampai setahun dia mengetuai agensi tersebut.
Azhar berkata seiring dengan perubahan dalam disiplin komunikasi, negara memerlukan calon yang mampu mengisi kehendak masyarakat semasa dan mampu membawa idea baru lagi segar, khususnya untuk mengolah naratif buat generasi muda.
"Ini boleh memberi nilai tambah kepada wajah kerajaan agar dilihat lebih segar dan mesra kepada orang muda," katanya.
Menurut Azhar lagi, calon tersebut juga mestilah mahir menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan berupaya menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.
"Justeru, kerajaan perpaduan ini perlu membuka ruang kepada calon dalam kalangan orang muda untuk terajui J-Kom," katanya lagi.