Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penemuan tapak kaki harimau risaukan penduduk
Diterbitkan:  Nov 19, 2023 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Lebih 1,000 penduduk di projek penempatan masyarakat setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di Gua Musang resah susulan penemuan beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau di kawasan ladang sawit kira-kira 200 meter dari kawasan mereka.

Seorang penternak Mohd Nordin Hashim, 39, berkata dia menemui kesan tapak kaki itu ketika berada di Ladang Chin Teck, kira-kira 8.30 malam tadi.

"Dua hari lepas sudah ada penduduk yang melihat kelibat harimau berhampiran kawasan ini. Keadaan ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk dan bimbang ternakan mereka seperti lembu dan kambing akan menjadi mangsa haiwan liar itu.

"Kami juga bimbangkan keselamatan penduduk yang adakalanya masuk ke kawasan ladang untuk mencari daun pisang dan melepaskan ternakan mereka," katanya kepada pemberita di Ladang Chin Teck hari ini.

Zainuri Salleh, 45, berkata dia terkejut apabila menerima maklumat mengenai penemuan kesan tapak kaki harimau menerusi kumpulan WhatsApp perumahannya.

"Saya mengingatkan anak supaya berhati-hati menunggang motosikal ke sekolah pagi ini.

"Walaupun kesan tapak kaki itu dijumpai di kawasan ladang, kami perlu berjaga-jaga kerana lokasinya sangat dekat dengan rumah penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata dia mengetahui mengenai penemuan kesan tapak kaki itu menerusi perkongsian WhatsApp yang tular sejak malam tadi.

“Lokasi penemuan adalah di kawasan Galas dan berhampiran dengan petempatan penduduk, jadi kita berharap tindakan pantas daripada pihak berwajib dapat dilaksanakan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS