Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan kementerian itu akan membentangkan rang undang-undang (RUU) antimerokok dan kawalan vape yang telah lama tertangguh sebelum sidang parlimen berakhir pada 30 Nov.

“RUU itu akan dibentangkan sebelum tamat sesi (parlimen) ini. Kami akan selesaikan,” katanya kepada Malaysiakini dalam temu bual eksklusif di kementeriannya semalam (18 Nov).

Zaliha mengulas dakwaan Khairy Jamaluddin yang juga bekas menteri kesihatan bahawa beberapa menteri telah menghalang rang undang-undang berkenaan.

Khairy yang merupakan perancang asal rang undang-undang itu berkata cara kabinet mengendalikan RUU itu "benar-benar membingungkan."

Bagaimanapun, Zaliha tanpa menjelaskan lebih lanjut hanya berkata, "ia sebelum akhir bulan ini".

Sementara itu, Zaliha dipetik oleh New Straits Times semalam sebagai berkata pihaknya "masih menunggu tarikh untuk membentangkan undang-undang yang dicadangkan".

Hanya tinggal lapan hari sahaja lagi sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir.

RUU berkenaan yang dikenali sebagai Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023, sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 10 Okt lalu.

Bagaimanapun, pembentangan RUU itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada urusan kerajaan di Parlimen.

RUU yang dipertikaikan itu meliputi beberapa aspek kesihatan awam.

Antaranya memperkenalkan semula kawalan ke atas produk nikotin termasuk vape - selepas kerajaan mengeluarkan bahan itu daripada Akta Racun pada Mac.

RUU itu juga memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan menghalang individu yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya daripada membeli produk tembakau atau nikotin - yang menyaksikan RUU itu dirujuk sebagai generasi penamat atau Generational End Game (GEG).

Sebelum ini, sumber di Kementerian Kesihatan memberitahu Malaysiakini bahawa pelobi industri tembakau juga memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengetepikan GEG.

Sementara itu, badan pemerhati kesihatan, CodeBlue mendakwa kabinet telah memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU itu.

Menurut CodeBlue, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berpendapat peruntukan GEG adalah "tidak berperlembagaan" kerana melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS