Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah agar pelajar tempatan mengeratkan jalinan muhibah dan menyebarkan kebaikan tanpa mengira bangsa atau agama, termasuk persahabatan dengan pelajar dari luar negara.
Baginda bertitah ketegangan geopolitik dunia sedikit sebanyak juga memberikan kesan kepada semua sehingga terdapat begitu banyak kesengsaraan, kehilangan orang tersayang, kehilangan rumah, di beberapa pelosok dunia, termasuklah penderitaan dialami di beberapa negara Islam.
Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seperti program Serambi Al-Quds bagi membantu rakyat Palestin menyambung pengajian di UTM.
"Sebagai pusat pengajian tinggi yang tersohor, UTM telah memberi peluang kepada beberapa pelajar antarabangsa untuk mendapat pendidikan di Malaysia. Ini adalah satu usaha yang mulia.
"Marilah kita memanjat kesyukuran kerana kita boleh menawarkan tempat selamat untuk pelajar-pelajar ini yang keluarga tersayang mereka sedang mengalami kesusahan dan berdepan dengan tragedi kehilangan nyawa,” titah Raja Zarith Sofiah pada Majlis Konvokesyen UTM ke-67 (MK67) di Johor Bahru hari ini.
Berangkat sama isteri Tunku Mahkota Johor yang juga Pro-Canselor UTM Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tan Seri Dr Mohd Salleh Mohd Nor.
Raja Zarith Sofiah turut bertitah sebagai suri kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, baginda juga bertanggungjawab untuk menolong rakyat di negeri ini.
"Masih ramai di Johor yang duduk dalam keadaan daif, dan tidak dapat makanan mencukupi untuk keluarga mereka.
"Pada masa sama, ramai umat Islam sedang menderita. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, sesungguhnya kami menyedari penderitaan akibat keganasan yang dirasai oleh rakyat di negara-negara dilanda dengan kesan-kesan setelah keganasan sudah dilakukan.
"Oleh demikian, marilah kita menolong mereka yang terdekat berada di negeri dan negara kita.
“Pada masa sama, kita pertimbangkan cara sesuai untuk menolong mereka yang sedang dizalimi di negara luar," titah baginda.
Istiadat MK67 menyaksikan sebanyak 7,804 graduan termasuk penerima Hadiah Akademik pada MK67 yang berlangsung selama enam hari sehingga Khamis depan (23 Nov).
- Bernama