Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah teliti kenyataan saksi utama kes rasuah Guan Eng
Diterbitkan:  Nov 17, 2023 1:03 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh sebutan untuk memutuskan sama ada Lim Guan Eng boleh meneruskan prosiding mencabar kredibiliti pernyataan saksi pendakwaan SPRM,  Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dalam perbicaraan kes rasuah projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan menyerahkan salinan kenyataan setebal 108 muka surat daripada SPRM oleh Zarul Ahmad yang juga adalah pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB).

Zarul adalah adalah saksi utama dalam perbicaraan rasuah Lim yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pada prosiding sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan dokumen terbabit kepada mahkamah pagi ini.

Menurut Azura, dia perlu meneliti dokumen itu sebelum memutuskan sama ada salinan pernyataan Zarul  boleh diserahkan kepada pembelaan.

Dokumen itu bagi digunakan oleh pembelaan yang sebelum ini dibenar untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul menentukan sama ada wujud percanggahan kenyataannya yang direkodkan SPRM bagi kes ahli perniagaan, G Gnanaraja, di Mahkamah Shah Alam dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Pernyataan saksi kepada SPRM itu kemudian akan diserahkan kepada peguam bela Lim, Gobind Singh Deo, jika didapati mengandungi percanggahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur akan meneliti dokumen pernyataan saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sebelum memutuskan sama ada ia boleh diserahkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Azura Alwi berkata demikian, selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa, pihaknya sudah menyerahkan dokumen setebal 108 muka surat itu kepada mahkamah pagi ini.

“Mahkamah perlu meneliti dokumen ini terlebih dahulu untuk memastikan (sama ada) terdapat percanggahan, sebelum memutuskan ia boleh diserahkan kepada pembelaan,” kata Azura pada prosiding sebutan kes yang turut dihadiri peguam Gobind Singh Deo, mewakili Lim.

Azura kemudian menetapkan 9 Jan tahun depan untuk sebutan kes bagi memutuskan sama ada dokumen pernyataan itu boleh diserahkan kepada pembelaan dan menentukan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi utama diteruskan atau sebaliknya.

Dokumen itu mengandungi salinan pernyataan bekas saksi pendakwaan ke-23, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes membabitkan ahli perniagaan G Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam.

Pada 2 Nov lepas, Azura mengarahkan salinan rakaman percakapan itu dikemukakan kepada mahkamah terlebih dahulu, bagi menentukan sama ada wujud percanggahan dalam kenyataannya yang direkod SPRM dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS