Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia bantu mudahkan cara pensijilan halal produk Peru

Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, meminta Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat untuk membantu memudah cara pensijilan halal bagi produk negara terbabit memandangkan pengiktirafan itu diiktiraf di seluruh dunia, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya telah bersetuju untuk memudahkan permintaan Peru itu secepat mungkin,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Dina Boluarte di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di San Francisco pada Khamis.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Dr Zambry Abd Kadir; Duta Besar Malaysia di AS, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Dina Boluarte menjemputnya melawat Peru tahun depan sempena pertemuan pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2024 yang akan dipengerusikan negara itu.

Katanya presiden Peru itu turut mempelawa ahli perniagaan Malaysia melawat dan melabur di Peru.

Anwar juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh baru-baru ini.

“Dina Boluarte telah menyampaikan komitmen kerajaannya untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia,” katanya.

Anwar berkata Malaysia mengulangi komitmen untuk terus melatih pegawai Peru melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan saling belajar daripada kepakaran masing-masing.

Mengenai permintaan Peru untuk mewujudkan status perkongsian pembangunan dengan Asean, perdana menteri berkata Malaysia pada dasarnya menyokong usaha itu.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan aspek pemerkasaan wanita dan perubahan iklim.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru berjumlah AS$168.45 juta (RM751.77 juta) dari Jan hingga Jun ini, meningkat 12.8 peratus daripada AS$155.97 juta (RM666.44 juta) yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS