story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Garisan bersinar dalam gelap terangi jalan Semenyih
Diterbitkan:  Nov 16, 2023 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Garisan jalan yang menggunakan teknologi dan inovasi ‘glow in the dark’ (bersinar dalam gelap) kini menerangi dua batang jalan di Semenyih.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi memeriksa sendiri keadaan jalan yang mengguna pakai teknologi tersebut.

“Saya turun padang bagi meninjau sendiri keberkesanan garisan jalan yang menggunakan teknologi ‘glow in the dark’,” katanya pada hantaran di Facebook.

Dia juga berkata bahawa dia turut menekankan pengadaptasian teknologi dan inovasi selain memastikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan sebaiknya.

“Inisiatif ini sesuai dengan keadaan jalan raya gelap yang tiada lampu jalan.

"Selain itu, walaupun ia mempunyai ketahanan selama 10 jam di dalam gelap, ia juga dapat memberi impak pencahayaan yang baik semasa waktu hujan," katanya.

Menurut Alexander lagi, garisan sinar itu merupakan projek rintis Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Langat dan dilaksanakan di Persimpangan Jalan Sungai Lalang dan Jalan Sungai Tekali.

Bagaimanapun, katanya pihak kementerian masih mengkaji tahap keberkesanan kaedah ini secara keseluruhan dan ini termasuk kos pelaksanaannya yang agak mahal.

Menteri itu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan beberapa pihak lain yang terlibat dalam projek berkenaan.

"Saya juga amat menghargai kehadiran YB Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat,” katanya lagi.

Sebelum ini, dilaporkan inisiatif tersebut juga memastikan pengguna-pengguna jalan raya untuk memandu dengan lebih berhati-hati di kawasan jalan raya yang tidak biasa dilalui oleh mereka.

Garisan yang bercahaya di dalam gelap itu menerangi jalan raya sepanjang 490 meter dan ia kelihatan seperti biasa pada waktu siang dan ia cuma akan bercahaya pada waktu malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS