Harga barang-barang sembahyang Hindu meningkat sehingga 56 peratus berbanding tahun lalu, kata Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
PHA dan CAP berkata selepas Deepavali pada 12 November, penganut Hindu juga merayakan Kantha Shasthi sehingga 18 Ogos dan Thaipusam pada 21 Januari depan.
“Bagaimanapun, ramai penganut, terutamanya golongan B40 bimbang dan sedih melihat peningkatan kos banyak barangan asas sembahyang,” kata Presiden PHA P Murugiah dan pegawai pendidikan CAP NV Subbarow.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata kedua-dua persatuan melakukan tinjauan rawak melibatkan 18 barangan sembahyang Hindu di kedai-kedai di Pulau Pinang dan Seberang Jaya.
Barang-barang itu, kata mereka, antaranya kapur barus, air mawar, bunga melati segar, dahlia, teratai, damar wangi (sambrani), dupa, sirih, pinang, kelapa dan lampu sembahyang tanah liat.
Kata mereka, peningkatan paling ketara melibatkan minyak Vanaspati, yang meningkat dari RM89 kepada RM200 atau 56 peratus untuk tin 20 kilogram.