Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi MP Bersatu tampil nafi ditawar habuan, diugut untuk sokong Anwar
Diterbitkan:  Nov 15, 2023 9:58 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Seorang lagi ahli Parlimen Bersatu tampil menafikan dakwaan bahawa sokongannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim adalah disebabkan ugutan dan habuan.

Sebaliknya, kata ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman sokongannya kepada perdana menteri adalah demi memastikan kelangsungan rakyat di Parlimen Labuan.

Suhaili Abdul Rahman

“Saya ahli Parlimen Labuan ingin menafikan sekeras-kerasnya berkaitan dakwaan Ketua Armada Bersatu Malaysia (Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal) di satu sidang akhbar yang dibuat di Dewan Rakyat semalam.

“Antara lain beliau menyebut bahawa empat ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada perdana menteri telah didatangi oleh seseorang yang diberikan gelaran ‘Datuk Botak’, kononnya memberikan tekanan seperti mengugut, menjanjikan projek dan memberi habuan wang tunai.

“Semua itu adalah tidak benar terutamanya kepada diri saya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Azizi Abu Naim

Semalam, ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata dia akan memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris yang menuduhnya menerima sogokan untuk mengisytiharkan sokongan terhadap perdana menteri.

Azizi mendakwa tuduhan itu satu fitnah dan dia menafikan ada ditawarkan apa-apa bentuk habuan.

Dalam pada itu, Suhaili sekali lagi mengulangi bahawa sokonganya kepada perdana menteri dibuat secara ikhlas tanpa paksaan.

Selain meminta ketua Armada Bersatu yang juga ahli Parlimen Machang supaya berhenti mencari publisiti murahan, apatah lagi dia kini telah digantung keahlian daripada Bersatu.

"Memandangkan kepimpinan parti telah menjatuhkan hukuman digantung keahlian selama enam tahun kepada saya disebabkan melanggar disiplin parti, maka saya minta supaya ketua Armada Bersatu berhenti membuat publisiti murahan melalui isu sama berulang kali,” katanya lagi.

Suhaili merupakan salah seorang daripada empat ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

Tiga lagi ahli Parlimen Bersatu menyokong kerajaan ialah, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS