Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Teladan dari Syeikh Yusuf dan perjuangan antiaparteid

ULASAN |...we know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians (kita sangat faham bahawa kemerdekaan kita tidak lengkap tanpa kemerdekaan rakyat Palestin),” kata Nelson Mandela, pada 4 Disember 1997.

Ada sisi menarik yang wajar disoroti dalam perjuangan Nelson Mandela ini.

Ketika sambutan 300 tahun masyarakat Melayu Cape Town pada tahun 1994, beliau mengakui bahawa Syeikh Yusuf Al-Makassari merupakan salah seorang yang memberi inspirasi kepada perjuangan antiaparteid di Afrika Selatan.

Bahkan menurut liputan Impact International edisi Jun 1994, beliau mengakui dalam majlis tersebut perjuangan Syeikh Yusuf Al-Makassari juga merupakan salah satu inspirasinya ketika Mandela mendekam di dalam penjara di Pulau Robben.

Sambutan 300 tahun masyarakat Melayu Cape Town diadakan dengan mengambil tarikh sempena kehadiran Syeikh Yusuf Al-Makassari yang dibuang negeri dari tanah kelahirannya oleh Belanda.

Tokoh yang diangkat sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia ini juga turut diiktiraf dengan anugerah tertinggi (emas) Order of the Companions of O. R. Tambo pada tahun 2005, di atas perjuangannya yang telah membangkitkan kesedaran khususnya dalam kalangan masyarakat kulit hitam.

Atas sebab itu juga Zandvliet yang merupakan tempat beliau diasingkan dahulu, kini telah dikenali sebagai Macassar.

Di sini Syeikh Yusuf Al-Makassari berperanan sebagai rujukan dalam kalangan golongan hamba yang ditindas oleh penjajah Eropah.

Keberadaan Syeikh Yusuf Al-Makassari ini sangat unik kerana jasanya diiktiraf di peringkat tertinggi di dua negara yang berbeza.

Terbukti kekuasaan yang cuba digunakan penjajah Belanda tidak mampu menyekat risalah kemanusiaan serta pembebasan yang diutarakan tokoh ini, walaupun tampak berada dalam tempat serta suasana yang agak asing bagi dirinya.

Palestin dan perjuangan antiaparteid

Atas nama kemanusiaan dan kebebasan, masyarakat antarabangsa secara terang-terangan memberi sokongan terbuka kepada warga Palestin yang menghadapi serangan rejim Zionis khususnya di Gaza pada ketika ini.

Pelbagai protes serta aksi massa telah berlaku termasuk di kota-kota besar Eropah seperti London serta Paris.

Protes tampak tidak memberi kesan jika jumlah kematian khususnya dalam kalangan kanak-kanak diambil kira.

Akan tetapi protes ini telah berhasil menyudutkan Israel di posisi sebagai penjenayah walaupun pelbagai propaganda serta usaha spin telah dilaksanakan.

Sepertimana perjuangan Syeikh Yusuf Al-Makassari yang memakan masa selama 300 tahun untuk membuahkan hasil, usaha untuk memartabatkan keberadaan warga Palestin di dunia ini perlu diteruskan kerana perjuangan ini merupakan satu perjalanan yang panjang.

Atas sebab itu wajar untuk kita belajar daripada perjuangan antiaparteid antarabangsa kerana ia sebahagian daripada mata rantainya ditempa oleh ulama terbilang ini.

Mulai tahun 1960-an, dasar aparteid yang dilaksanakan Afrika Selatan sudah mula mengakibatkan negara itu diasingkan daripada kancah sukan antarabangsa.

Pengasingan negara tersebut telah menafikan peluang para atletnya untuk mendapatkan pengiktirafan dalam temasya Sukan Olimpik, Piala Dunia (Bola Sepak), Piala Dunia (Ragbi), Sukan Komanwel, serta pelbagai pertandingan lain.

Suara masyarakat antarabangsa juga telah mendorong Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan resolusi 481 serta 591 pada tahun 1970-an, yang melarang eksport peralatan senjata ke Afrika Selatan.

Pengasingan ini telah menjerut rejim aparteid sehingga akhirnya memberi ruang kepada transisi sosio-politik di Afrika Selatan yang menyaksikan Nelson Mandela dipilih sebagai presiden pada tahun 1994.

Pada tahun berikutnya Afrika Selatan telah menjuarai Piala Dunia Ragbi dalam kejohanan yang mana ia turut berperanan sebagai tuan rumah.

Manakala pada tahun 1996 negara tersebut turut menjadi tuan rumah untuk pertandingan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika. Dalam kejohanan tersebut Afrika Selatan telah muncul sebagai juara.

Mengasingkan pengaruh Zionis

Dalam konteks sukan antarabangsa beberapa tahun kebelakangan, keadaan yang berbeza telah berlaku apabila Israel telah diberikan layanan istimewa.

Indonesia telah ditarik balik hak untuk menganjurkan pertandingan Piala Dunia bawah 20 tahun, kerana maklum balas dalam kalangan masyarakatnya terhadap pembabitan pasukan bola sepak Israel.

Pada tahun 2019 juga Malaysia telah berdepan sekatan kerana tidak mahu menerima kehadiran atlet sukan para renang Israel ke negara ini.

Layanan tersebut jelas menunjukkan keterasingan rejim Zionis daripada masyarakat antarabangsa, walaupun keberadaan mereka cuba diatur oleh pihak-pihak tertentu.

Keterasingan ini seharusnya menguatkan tekad kita untuk terus berjuang.

Perbezaan sudut pandang tidak seharusnya dijadikan punca perbalahan selagi matlamat asasnya untuk memperjuangkan pembebasan Palestin (Baitul Muqaddis) serta warganya, disepakati.

Tingkah ‘ghuluw’ (ekstrem) ataupun dalam slanga pada masa kini ”terpaling” hanya akan membawa kesengsaraan serta perpecahan yang boleh meretakkan kesepakatan serta ketegasan suara perjungan ini di pentas antarabangsa.

Kesederhanaan yang ditonjolkan Syeikh Yusuf Al-Makassari telah meletakkan gagasannya sebagai antara pemegang taruh utama yang melenyapkan dasar aparteid selepas tiga ratus kedatangan beliau ke Cape Town.

Kesederhanaan adalah asas kepada kelestarian perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.


FIRDAUS HAMSIN ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS