Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu minum arak: Wan Saiful rujuk MP Kulai ke jawatankuasa hak dan kebebasan
Diterbitkan:  Nov 14, 2023 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan telah mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul bagi merujuk Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, usul tersebut berkaitan dengan kenyataan Teo yang dianggap merupakan sangkaan jahat terhadap dirinya dan cuba mengelirukan dewan mengenai isu minum arak secara terbuka oleh Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Tiong King Sing.

Wan Saiful berkata pihak kerajaan seringkali memainkan sentimen 3R (agama, kaum, institusi diraja) apabila gagal menjawab sesuatu isu yang timbul di Dewan Rakyat.

Menurutnya, seorang pemimpin harus mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik tidak kira agama dan bangsa.

"Saya bawa usul ini kerana saya dapati pihak kerajaan seringkali memainkan sentimen 3R apabila mereka tidak dapat menjawab sesuatu perkara.

"Saya tidak sebut pun mengenai agama atau bangsa dalam pertanyaan saya, tetapi apabila YB Teo Nie Ching tidak dapat mempertahankan akhlak buruk tersebut, dia terus memberi gambaran salah seolah-olah saya mempersoal hak orang bukan Islam minum arak.

"Walhal ini bukan isu yang saya timbulkan," katanya melalui Facebook, hari ini.

Dalam usul tersebut, Wan Saiful mendakwa pada 8 Nov lalu, Teo yang juga timbalan menteri Komunikasi dan Digital sengaja mengeluarkan ucapan yang mengelirukan dewan dan menimbulkan prasangka buruk terhadap dirinya.

Jelasnya, dia hanya menimbulkan persoalan mengenai akhlak seorang menteri dan menganggap perbuatan meminum arak secara terbuka adalah tidak wajar.

Dia turut merasakan Tiong perlu menunjukkan contoh yang baik tanpa merujuk kepada pegangan agama walaupun sesuatu perkara itu dibenarkan dalam agamanya tetapi tidak semestinya boleh dibuat tanpa pertimbangan yang rasional.

"Sebagai pemimpin, kita mempunyai tanggungjawab lebih berat menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat," katanya dalam usul tersebut.

Sebaliknya, Wan Saiful mendakwa Teo berterusan menganggap dirinya mempersoalkan bahawa orang bukan Islam dilarang meminum arak.

Menurutnya lagi, Teo sengaja menggunakan sentimen agama bagi menimbulkan sangkaan buruk terhadap dirinya dan mengelirukan bukan sahaja ahli-ahli dewan, tetapi termasuk rakyat yang menonton siaran langsung perbahasan di Parlimen.

Terdahulu, pada perbahasan di Dewan Rakyat, pemimpin Bersatu itu bertikam lidah dengan Teo berhubung isu orang bukan Islam yang meminum minuman beralkohol.

Ini selepas Wan Saiful mempersoalkan cara Tiong menjawab kritikan berhubung tindakannya minum arak pada satu acara keramaian di tempat awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS