Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa tidak mengambil masa terlalu lama untuk melantik menteri bagi menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketika membuat gesaan itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, ini selepas mengambil kira pengurusan perbelanjaan peruntukan yang diterima oleh kementerian terbabit selain pelbagai isu kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat.

“Kementerian ini tak perlu menunggu masa terlalu lama, (sudah) lebih empat bulan (bekas) menteri penuhnya tidak dapat lagi diisi. Sampai bila kita nak menunggu ketika mana kita sedang menguruskan (perbelanjaan) RM1.88 bilion untuk kementerian ini?

“Saya menyarankan supaya perdana menteri tidak menunggu masa lebih (lama) lagi untuk melantik menteri KPDN. Jangan tunggu lama,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Nama Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari disebut-sebut bakal dilantik sebagai menteri KPDN yang baru menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub.

Beberapa pemimpin Parti Amanah juga turut mengesahkannya ketika ditanya perkembangan kekosongan portfolio tersebut.

Bagaimanapun, sumber menjelaskan calon pengganti Salahuddin itu bukan senator Dewan Negara.

Namun, sehingga hari ini belum ada apa-apa perkembangan berhubung lantikan tersebut.

Salahuddin, 61, yang juga bekas timbalan presiden Amanah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada malam 23 Julai lepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Adly, 52, juga satu-satunya naib presiden Amanah yang menang pada pilihan raya umum ke-15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS