Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan sogok MP: Farhash mahu lapor polis, saman Wan Fayhsal
Diterbitkan:  Nov 14, 2023 4:34 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Armada (Bersatu) Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas mendakwa dia bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada perdana menteri.

Farhash dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat.

"Disebabkan oleh kenyataan dan tuduhan fitnah yang dilontarkan terhadap saya, saya akan membuat suatu laporan polis agar siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis terhadap Wan Fayhsal.

"Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal," katanya.

Terdahulu, Wan Fayhsal mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, selain Farhash, seorang lagi individu terlibat dalam kegiatan menyogok dan memberi suapan melalui janji-janji bantuan kewangan kepada ahli parlimen Bersatu.

Wan Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang berkata video-video berkaitan usaha menarik sokongan wakil rakyat pembangkang itu boleh dilihat melalui perkongsian di laman-laman sosial seperti Facebook dan Tiktok.

“Video tersebut menjelaskan peranan bekas setiausaha politik perdana menteri iaitu Farhash dalam perkara ini.

“Terdapat juga satu video menunjukkan identiti seorang Datuk Botak yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri,” dakwanya.

Dalam pada itu Farhash berkata, Wan Fayhsal membuat dakwaan itu bagi menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk kepentingan dirinya sendiri.

Malah Farhash berkata, dia juga sudah lama tidak terlibat dalam kegiatan politik.

"Saya sudah lama tidak terlibat dengan kancah politik, dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

"Saya tidak faham mengapa saudara Wan Fayhsal telah melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau," tegasnya.

Sejak bulan lepas, empat ahli parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran perdana menteri.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Wakil rakyat berkenaan membuat keputusan itu dengan alasan untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasan masing-masing. Sebagai timbal balik, mereka memperoleh peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM4 juta di kawasan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS