Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Konspirasi keluarga DAP: Mastura serah bahan rujukan pada polis
Diterbitkan:  Nov 14, 2023 2:19 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad menyerahkan 'bahan rujukan' kepada pihak polis berhubung dakwaannya mengenai hubungan kekeluargaan dalam parti DAP hari ini.

Bagaimanapun, peguamnya Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata pihak mereka menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sama ada bahan bukti tersebut itu sahih atau sebaliknya.

"Kita ada beberapa bahan rujukan yang kita kumpul dan serahkan kepada pihak polis.

"Sama ada bahan (bukti) itu relevan atau tidak, sahih atau tidak, kita serah kepada pihak polis," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Terdahulu, Mastura hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan mengenai dakwaannya bahawa penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan sepupu bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, dan bekas pemimpin komunis, Chin Peng.

Dia juga mendakwa beberapa pemimpin DAP turut mempunyai hubungan kekeluargaan antara mereka.

Persoal status siasatan Guan Eng

Sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap Mastura berkaitan dakwaannya itu.

Menurut Ahmad Amzar, anak guamnya telah disoal oleh polis selama kira-kira sejam.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan polis telah merakam percakapan Mastura mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketika bercakap dengan wartawan, Mastura mempersoalkan status perkembangan siasatan polis terhadap Guan Eng berhubung dakwaan bahawa Pengerusi DAP itu menyentuh isu-isu 3R - agama, diraja, dan kaum.

"Saya ingin tahu apa status kes ini," katanya.

Mastura merujuk kepada siasatan polis terhadap Guan Eng selepas bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dilaporkan oleh beberapa media sebagai berkata bahawa 'PN akan merosakkan kuil Buddha atau kuil Cina di Pulau Pinang' pada Julai lalu.

Lim menafikan membuat dakwaan tersebut dan menjelaskan ucapannya merujuk kepada kes roboh sebuah kuil Hindu di Kedah pada Julai 2020.

China Press juga telah mengeluarkan penjelasan bahawa MalaysiaNow telah salah menterjemah petikan Lim.

Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang maklumbalas daripada pihak polis mengenai perkembangan siasatan berkenaan.

Surat tuntutan

Sementara itu, Ahmad Amzar berkata mereka telah menerima empat surat tuntutan daripada pemimpin DAP, iaitu Kit Siang, Guan Eng, isteri Guan Eng Betty Chew, dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Bagaimanapun, dia berkata pihaknya belum sempat meneliti kandungan surat-surat tuntutan tersebut.

Surat-surat tuntutan itu dipercayai berkaitan dengan dakwaan konspirasi keluarga seperti yang didakwa Mastura.

Selain keluarga Guan Eng, Mastura turut mendakwa bahawa Kok dan isterinya, Chew mempunyai hubungan keluarga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS