Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah: Zuraida mohon maaf kepada Saifuddin Nasution

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin telah memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes saman fitnahnya.

Zuraida, 65, membacakan pernyataan maaf itu di kandang saksi di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani, manakala Saifuddin tidak hadir.

"Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

"Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau," katanya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kemudian merekodkan penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak serta melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Pada 2020, Saifuddin yang juga adalah setiausaha agung PKR memfailkan tindakan sivil terhadap bekas naib presiden parti itu berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan kerajaan Kelantan dan Tabung Amanah Tok Kenali.

Ketika dihubungi pagi ini, peguam Saifuddin Navpreet Singh mengesahkan bahawa sebahagian daripada penyelesaian itu termasuk permohonan maafnya serta menarik balik kenyataannya.

Menurut Navpreet, plaintif menarik balik writ serta pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan manakala defendan menarik balik pernyataan pembelaan. 

“Selain itu, defendan menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah tersebut dan bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf secara lisan di mahkamah hari ini. 

“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penghakiman ini menjadi penyelesaian penuh serta muktamad dan guaman ini (kes saman) dibatalkan dan plaintif serta defendan tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula,” kata peguam itu dan menambah tiada perintah terhadap kos.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Zuraida turut mengesahkan perkara itu.

Saifuddin, 58, memfailkan saman itu pada 21 Julai 2020 mendakwa majlis makan malam tersebut bertema “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” itu berlangsung seiring dengan hari terakhir Kongres Kebangsaan PKR kali ke-14 di Melaka.

Beliau mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya beliau (Saifuddin Nasution) mengamalkan penipuan dan rasuah kerana beliau menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai PAS atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Saifuddin mendakwa bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota PKR dan penyokong PH.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS