Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M jawab soalan KJ: 'Kenapa Tun tak suka saya?'
Diterbitkan:  Nov 13, 2023 4:20 PM
Dikemaskini: Nov 14, 2023 2:07 AM

"Kenapa Tun tak suka saya?" Itu soalan bersahaja ditanya Khairy Jamaluddin terhadap bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap yang disiarkan hari ini.

Mahathir yang kelihatan sedikit tergamam bagaimanapun menjawab soalan itu dengan tenang dengan mengatakan ia disebabkan Khairy pernah bersaing dengan anaknya, Mukhriz.

"Pasal you bertanding dengan anak saya. Dan your mother-in-law kempen untuk you," kata Mahathir, merujuk kepada Allahyarhamah Endon Mahmood, isteri bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi yang anak mereka Nori berkahwin dengan Khairy.

Jawapan Mahathir itu menyebabkan Khairy terkejut dan tertawa kecil.

“Mana ada Tun,” balas Khairy.

“Orang ceritalah,” jawab Mahathir sambil tersipu.

Mahathir tidak secara khusus merujuk kepada mana-mana pertandingan.

Namun Khairy pada Mac 2009, menewaskan Mukhriz dan bekas menteri besar Selangor Khir Toyo dalam pertarungan tiga penjuru untuk merebut jawatan ketua Pemuda Umno.

Abdullah sebulan kemudian meletak jawatan sebagai perdana menteri dan tempatnya digantikan oleh Najib Razak sebagai timbalan perdana menteri ketika itu.

Selepas itu, Najib tidak melantik Khairy sebagai anggota kabinet, sebaliknya menamakan Mukhriz sebagai timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa.

Apabila Khairy bertanya kenapa Mahathir mempercayai kata-kata orang lain, bekas presiden Bersatu itu berkata:

Let's not discuss that lah. That is my belief (Jangan bincang perkara ni lagi. Itu apa yang saya percaya)," katanya.

Abdullah berkhidmat sebagai perdana menteri kelima dari 31 Okt 2003 hingga 2 April 2009, manakala Khairy sebagai menantunya juga pernah berkhidmat sebagai pembantunya, termasuk mempertahankan pentadbiran kerajaan ketika itu daripada kritikan Mahathir.

Dalam konflik berkenaan Khairy digelar oleh penyokong Mahathir sebagai ‘budak tingkat empat’.

Mengimbas kembali tahun-tahun di mana Abdullah memegang jawatan sebagai perdana menteri, Khairy menyifatkan pergeseran itu sebagai perbezaan pendapat berhubung dasar kerajaan seperti projek jambatan bengkok Singapura-Malaysia dan penjualan syarikat motosikal milik Malaysia MV Agusta.

“Dalam membela Pak Lah, Tun pun tahu Pak Lah ada dementia dia pun tak ingat apa-apa,” kata Khairy.

Mahathir cuba menjelaskan mengapa dia kecewa dengan "janji yang dimungkiri Abdullah tetapi Khairy menamatkan perbualan mengenai isu itu dengan menyatakan mereka bersetuju untuk tidak bersetuju dalam perkara tertentu antara kedua-dua pemimpin berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS