Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM ketuai delegasi M'sia ke Apec, tangani isu kritikal Asia Pasifik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec (AELM) ke-30 dari 14 hingga 17 Nov 2023, mencerminkan cadangan penglibatan aktif Putrajaya dalam forum serantau.

“Kehadiran Perdana Menteri mencerminkan cadangan penglibatan aktif Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec ke-30 dan akan menyumbang ke arah usaha menangani isu-isu yang kritikal di peringkat serantau, terutamanya di Asia Pasifik,” menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) merupakan forum ekonomi serantau dengan 21 ekonomi anggota.

AELM, bertemakan “Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”, akan menyaksikan Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pegawai kanan kerajaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan turut mengetuai delegasi Malaysia pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi Apec bersama tetamu, iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan Apec (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi Apec dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi Apec.

Acara ini akan menjadi peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan pemimpin Apec yang dihormati, Ketua Pegawai Eksekutif yang berpengaruh dan usahawan yang berjaya.

Menurut MITI, Tengku Zafrul juga akan mengiringi Perdana Menteri ke Mesyuarat Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) Kedua, yang dianjurkan di luar AELM, pada 16 Nov.

IPEF, rangka kerja kerjasama 14 negara di Indo-Pasifik, telah ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden AS Joe Biden untuk menangani isu ekonomi jangka panjang, membolehkan rakan kongsi memberi respons dengan segera dan seiring dengan cabaran dan peluang global baru.

Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan integrasi ekonomi dalam kalangan ekonomi Apec serta membincangkan cara perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengurangkan impak kerumitan geopolitik dan geoekonomi.

PM dijadual bertemu Google, Enovix dan TikTok

Tengku Zafrul berkata: “Memanfaatkan kehadiran Perdana Menteri di San Francisco, MITI telah mengatur pertemuan dengan pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok di luar acara AELM.”

“Pertemuan ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan matlamat yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.

Bersempena kehadirannya di San Francisco, Anwar juga akan menyampaikan syarahan umum mengenai “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia” di Berkeley University pada 14 Nov.

Selain itu, pertemuan dengan diaspora Malaysia yang berada di San Francisco akan dianjurkan pada 17 Nov untuk memberi peluang kepada Perdana Menteri berkongsi idea dan visinya di bawah Kerangka Malaysia Madani.

Dalam peranannya sebagai pengerusi Apec pada 2023, Amerika Syarikat (AS) akan menganjurkan AELM, mesyuarat Apec kedua terakhir pada tahun ini.

Apec 2023 merupakan kali ketiga AS menganjurkan AELM, selepas penganjuran sebelum ini di Blake Island (1993) dan Honolulu (2011).

Pada tahun ini, AS menjangka untuk menerima pakai 2023 Golden Gate Declaration Pemimpin Apec yang akan menjadi bukti kepada komitmen rantau ini untuk menangani cabaran global dan memacu usaha Apec ke arah merealisasikan Visi Putrajaya 2040.

Deklarasi pemimpin yang dikeluarkan menggariskan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan ekonomi Apec, terutamanya dengan cabaran yang berterusan, termasuk krisis iklim dan gangguan rantaian bekalan.

AS dan Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas Apec. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Ini diikuti China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993. Chile menyertainya pada tahun 1994 dan pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam menyertainya, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21 ekonomi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS