Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Negara Arab tak capai kata sepakat tangani konflik di Gaza
Diterbitkan:  Nov 12, 2023 1:38 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Meskipun mengutuk sekerasnya serangan rejim Zionis di Gaza, namun pemimpin Islam khususnya Arab menunjukkan perbezaan apabila tidak memutuskan sebarang langkah drastik bagi menangani krisis berkenaan.

Menurut AFP, sidang kemuncak tergempar Liga Arab dan Negara Islam menunjukkan perpecahan dalam kalangan pemimpin wilayah Arab dalam menangani krisis di Gaza.

Sidang kemuncak itu tidak memutuskan sebarang langkah berkenaan tindakan ekonomi mahupun politik.

Deklarasi yang dimuktamadkan semalam sekadar menolak dakwaan Israel yang rejim itu terpaksa bertindak kejam kerana mempertahan diri serta menggesa penjualan senjata kepada Israel dihentikan.

Selain itu, pemimpin OIC menuntut Majlis Keselamatan PBB menerima resolusi yang "tegas dan mengikat" untuk menghentikan pencerobohan Israel.

Mereka turut menolak sebarang penyelesaian politik masa depan terhadap konflik yang akan memisahkan Gaza dengan Tebing Barat.

Menurut AFP, sejumlah diplomat Arab berkata keputusan untuk menggabungkan kedua-dua sidang dibuat selepas delegasi Liga Arab gagal mencapai kata sepakat dalam kenyataan mereka.

Menurut mereka, sejumlah negara, antaranya Algeria dan Lubnan, mencadangkan mereka mengancam untuk menggendalakan bekalan minyak kepada Israel dan sekutu, serta untuk negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel.

Namun sekurang-kurangnya tiga negara, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 2020, menolak cadangan itu, kata mereka lagi.

Ketika persidangan, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menegaskan dia berpegang kepada pendirian bahawa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Presiden Iran Ebrahim Raisi pula berkata negara Islam harus mengisytiharkan tentera Israel sebagai pertubuhan pengganas berikutan tindakannya di Gaza.

Ini merupakan kunjungan pertama Ebrahim ke Arab Saudi sejak hubungan kedua-dua negara dipulihkan pada Mac lalu.

-AFP


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS