Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar adakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin Pakistan, Iran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwaar-ul-Haq Kakr, Perdana Menteri sementara Pakistan sejak Ogos lepas.

Mesyuarat itu diadakan di luar sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin yang dihadiri oleh kedua-dua pemimpin.

Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Terdahulu, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Iran Ebrahim Raisi.

Anwar dan Ebrahim Raisi dalam satu pertemuan pada September lalu

Para pemimpin dan delegasi negara anggota OIC berhimpun pada sidang kemuncak itu, yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.

Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Riyadh, diadakan susulan penglibatan ekstensif Anwar dan beberapa pemimpin OIC berkaitan isu Palestin selain serangan serta kekejaman berterusan rejim Israel.

Bercakap di hadapan para pemimpin Islam pada sidang itu, perdana menteri menggesa negara anggota OIC secara konsisten mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS