Harga ayam tanpa subsidi dan kawalan harga tidak akan kekal murah.
Harga ayam masih kekal seperti harga di paras siling akibat dari pemantauan meluas pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ia bukan disebabkan peniaga bersaing secara sihat dan berlumba-lumba menawarkan harga terbaik seperti laporan Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo.
Secara logiknya mana mungkin harga ayam atau apa-apa barangan akan menjadi murah tanpa subsidi dan kawalan harga yang mengekalkan harga maksimum.
Sebulan sebelum pengapungan harga ayam, lebih 100 notis dikeluarkan di seluruh negara kepada peniaga yang menaikkan harga jualan ayam.
Harga ayam yang masih berada dalam lingkungan harga kawalan apabila harga ayam diapung adalah bersifat sementara dan akan meningkat secara berperingkat.
Ayam adalah satu komoditi yang mempunyai ciri ‘inelastik demand’ atau permintaan tidak anjal. Ini bermakna permintaan untuk ayam kurang terjejas dengan perubahan harga.
Pengguna akan terus mengkonsumi ayam. Harga ayam yang murah juga tidak akan menggandakan jualan ayam atau ‘consumption’ ayam dalam sesebuah isi rumah. Jadi penjual akan sentiasa menaikkan harga kerana harga murah tidak akan melariskan ayam begitu juga kenaikan harga tidak akan mengurangkan permintaan ayam dengan tinggi.
Walaupun perubahan harga ayam tidak menjejas permintaan tetapi ia merupakan penentuan bebanan kepada rakyat. Rakyat yang terpaksa membeli aya m iaitu komoditi keperluan asas bagi isi rumah dengan harga yang mahal.
Harga ayam juga akan meningkat susulan mata wang ringgit yang lemah mengakibatkan kenaikan kos bahan mentah makanan, kenaikan kos anak ayam dan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Punca kenaikan harga ini tidak diatasi dengan efektif dan masih berleluasa. Ini menjamin ketidakstabilan harga ayam tanpa kawalan.
Tujuan utama subsidi dan kawalan harga adalah untuk mengatasi kenaikan kos, masalah bekalan ayam akibat perubahan cuaca dan juga siling harga semasa permintaan tinggi pada musim cuti perayaan.
Bekalan ayam yang kurang akibat dari perubahan cuaca juga mendorong kepada kenaikan harga selain dari permintaan yang meningkat.
Tanpa subsidi dan kawalan harga, kos ayam akan terus meningkat dan rakyat akan terbeban kerana ayam adalah komoditi asas yang diperlukan.
Walaupun kami tidak menggalakkan subsidi tetapi punca kenaikan harga perlu diatasi.
Dengan harga apungan, harga ayam akan meningkat secara berperingkat kerana ini adalah sifat barangan keperluan dengan permintaan tidak anjal selain punca masalah yang masih tidak diatasi.
Penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa juga tidak akan mendatangkan hasil jangka masa panjang kerana tanpa harga kawalan, penjual bebas untuk meletakkan harga jualan runcit.Apa guna meletakkan harga apungan jika harga ayam terus dikawal oleh kementerian secara tidak langsung melalui tindakan mengeluarkan notis-notis KPDN kepada peniaga. Adakah ini boleh menyelesaikan punca masalah?
ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.