Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel setuju 'hentikan serangan' empat jam setiap hari di Gaza
Diterbitkan:  Nov 10, 2023 11:24 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Israel bersetuju untuk menghentikan serangan selama empat jam setiap hari di utara Semenanjung Gaza bermula hari ini  bagi membolehkan rakyat Palestin melarikan diri ke kawasan pantai.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, bahawa tiada peluang untuk gencatan senjata sepenuhnya.

"Pihak kami diberitahu oleh Israel tidak akan ada operasi ketenteraan ketika penghentian serangan itu dan proses terbabit akan bermula hari ini (Khamis)," katanya kepada media tempatan.

Sejak peperangan tercetus 7 Oktober lalu, Biden telah meminta Israel menghentikan serangan ketika rundingan diadakan.

Sementara itu,  Al Jazeera memetik jurucakap White House, John Kirby, sebagai berkata gencatan kemanusiaan pertama akan diumumkan hari ini.

“Sepanjang tempoh tersebut, tiada operasi ketenteraan dilakukan dan penduduk Gaza boleh berpindah dengan selamat.

“Kami juga dimaklumkan oleh Israel bahawa ini bukan gencatan senjata dan perkara itu tidak akan berlaku buat masa ini,” kata Kirby.

Sementara itu, Reuters memetik jurucakap tentera Israel, Richard Hecht sebagai  berkata, pihaknya tidak bersetuju kepada gencatan senjata namun akan membenarkan penghentian serangan sementara bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke kawasan tertentu.

"Tiada gencatan senjata, saya ulangi tiada gencatan senjata. 

“Apa yang kami lakukan, penghentian serangan sementara selama empat jam adalah untuk bantuan kemanusiaan," katanya.

Penasihat politik kepada ketua Hamas, Ismail Haniyeh, Taher al-Nono dilaporkan  berkata, pada rundingan masih diteruskan namun tiada kata putus dipersetujui dengan Israel setakat ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS