Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng mulakan prosiding saman terhadap Siti Mastura
Diterbitkan:  Nov 10, 2023 10:49 AM
Dikemaskini: 9:05 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Siti Mastura Muhammad kerana mendakwa dia memiliki hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan perdana menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

Lim berkata dia telah melantik peguam Sankara Narayanan Nair untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Lim juga menggesa Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat Siti Mastura.

"Saya telah melantik Sankara Narayanan Nair sebagai peguam saya untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya.

"Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah acara PAS di Kemaman pada 4 November lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew, Siti Mastura juga mendakwa Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok serta Ngeh Koo Ham.

Susulan itu, Lim memberi tempoh sehingga semalam untuk Siti Mastura membuktikan dakwaan itu.

Semalam, pemimpin DAP juga membuat laporan polis terhadapnya dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, fitnah, palsu dan berniat jahat.

Mengulas lanjut, Lim mendakwa Siti Mastura bersikap rasis dan ekstremis dengan membuat dakwaan itu bagi menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina.

Dia juga mendakwa Siti Mastura enggan menunjukkan bukti atau memohon maaf atas dakwaan yang dibuat.

"Turut membimbangkan adalah sikap penyokong PAS yang terus menyokong dan memuji Siti Mastura hanya kerana pembohongannya telah mencetuskan kemarahan di kalangan penyokong dan pemimpin DAP serta rakyat Malaysia.

"Penyokong PAS tidak kisah dia berbohong atau membuat kenyataan perkauman dan ekstrem, asalkan ia (dibuat) terhadap pemimpin DAP.

"Atas sebab ini, Abdul Hadi dan Muhyiddin perlu menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka menyokong pembohongan melampau dan fitnah jahat yang dibuat Mastura, atau tidak bersetuju dengannya dan memintanya membetulkan tindakan itu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS