Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tol percuma hujung minggu ini sempena Deepavali
Diterbitkan:  Nov 10, 2023 10:16 AM
Dikemaskini: 6:05 AM

Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma bermula tengah malam ini sehingga 12 November sempena perayaan Deepavali.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata tol percuma selama dua hari itu melibatkan semua jenis kenderaan di semua lebuh raya, kecuali dua plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor.

"Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, kerajaan melalui mesyuarat jemaaah menteri pada 18 Jan 2023 telah bersetuju untuk memberi tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya negara ini bersempena sambutan Deepavali yang akan disambut pada 12 Nov.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui mesyuarat bersama-sama dengan syarikat konsesi juga telah bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini yang bermula pada 11 Nov (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 Nov (Ahad) jam 11.59 malam.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pemilihan tarikh itu bertujuan untuk mengelakkan kesesakan pada hari pulang ke kampung halaman dan kembali ke bandar, serta mengoptimumkan pengoperasian logistik seperti kawalan trafik, sumber air tambahan dan penyediaan tandas di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Dia juga menganggarkan jumlah trafik pada dua hari tersebut akan mencecah 11.8 juta buah kenderaan.

"Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS