Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Empat ahli Parlimen Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon agar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat ditukar.

Mereka adalah Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia telah menerima surat daripada mereka berkenaan perkara itu hari ini.

Bercakap dalam sidang media di Parlimen hari ini, Johari berkata dia akan melihat aturan dalam Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan.

"Saya akan hubungi mereka ketika Deepavali, akan ada pertemuan tak rasmi. Tengok macam mana, saya baru terima surat," katanya hari ini.

"Seperti Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman), dia tak mahu duduk di sebelah kerajaan dan minta tempat duduk yang 'lebih selesa'.

"Macam keluarga. Dulu mereka tidur di bilik tidur, sekarang mereka nak pindah ke ruang tamu," seloroh Johari.

Sementara itu, Johari berkata kedudukan Syed Saddiq - yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah hari ini - tidak berubah.

Kata Johari, selagi ahli parlimen Muar itu belum menghabiskan proses undang-undang yang ada dia tidak perlu mengosongkan kerusinya.

"Saya rasa dia ada dua mahkamah lagi (yang boleh digunakan bagi merayu)," katanya merujuk kepada mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan.

Pagi tadi Syed Saddiq yang juga presiden Muda didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, penyelewengan harta benda dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.

Syed Saddiq merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu.

Bagaimanapun, hakim Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan semua hukuman tersebut sementara menunggu kesnya yang dirujuk ke Mahkamah Rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS