Muhyiddin berkata MPT Bersatu akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan gerakan terancang daripada parti lawan yang menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan tindakan beberapa ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata tindakan mereka itu adalah bercanggah dengan pendirian parti.
“Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naikkan di Facebook.
Muhyiddin juga mendakwa dia mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang untuk mengugat gabungan pembangkang.
“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan PN dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen.
“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naikkan di Facebook.
Selasa lalu, ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim dan, semalam ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik daripada Bersatu merupakan dua wakil rakyat terbaharu yang menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman masing-masing mengumumkan sokongan mereka pada 12 dan 30 Oktober lalu.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, pada petengahan bulan lalu, juga mendakwa ahli parlimen PN diugut SPRM supaya menyokong kerajaan dan sekiranya enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Mengulas lanjut, Muhyiddin, ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi parti menangani perkara berkenaan.
“Tindakan dua lagi ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar adalah bercanggah dengan pendirian parti.
“Ini adalah pelanggaran disiplin parti yang serius selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan PN.
“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini,” katanya.