Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan sedia untuk memaafkan akhbar milik PAS, Harakah atas laporan yang diterbitkannya pada 6 November lalu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata kerajaan mengalu-alukan surat rayuan Harakah berhubung pembatalan kad akreditasi Jabatan Penerangan, dan bersedia untuk menimbang rayuan itu.

"Saya difahamkan pihak Harakah akan menghantar surat rayuan dan kita alu-alukannya. Saya akan bincang dengan Jabatan Penerangan kerana apa yang kita ingin tegaskan di sini adalah etika kewartawanan.

"Kita sedia, seperti perdana menteri (Anwar Ibrahim) sebut hari itu - dia sedia untuk maafkan, tak menjadi masalah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkenaan isu kebebasan media.

Pada 6 November lalu, Harakah menerbitkan artikel yang memetik Ketua Dewan Ulamak PAS Ahmad Yahaya yang mendakwa kerajaan "ragu-ragu" dalam pendiriannya dalam isu Palestin.

Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Anwar dengan bendera Israel di belakangnya manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.

Anwar membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat dua hari lalu, dengan membidas Ahmad dan Harakah.

Semakan Malaysiakini kemudian mendapati gambar itu kemudiannya telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.

Fahmi juga menegaskan keperluan untuk semua media mengamalkan kewartawanan yang beretika.

Katanya, walaupun kerajaan menyokong kebebasan media, media masih perlu bertanggungjawab dalam pelaporan dan tidak menerbitkan kandungan yang antaranya mengandungi salah maklumat dan mencetuskan kebencian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS