Ketika rejim Israel meneruskan serangan ke atas Gaza, di Malaysia konflik yang lain pula berlaku.
Isu boikot mencetuskan debat hangat dalam kalangan warga Malaysia khususnya mengenai kesan tindakan tersebut sama ada di dalam atau di luar negara.
Malah di kalangan orang Melayu dan Muslim sendiri berbeza pendapat meskipun kebanyakan mereka menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Bagi penganjur boikot, matlamatnya adalah mudah - berhenti memberi wang kepada syarikat-syarikat yang dianggap berkait atau bersimpati dengan Israel sebagai cara untuk merosakkan ekonomi Israel dan menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin.
Ini terutama selepas jumlah kematian di Gaza melebihi 10,000 orang, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak dalam serangan ganas Israel.
Gerakan boikot mendapat sokongan selebriti dan pempengaruh, seperti Vivy Yusof. Vivi menggesa 1.8 juta pengikut Instagramnya menggunakan kuasa pengguna mereka untuk memberi tekanan kepada syarikat-syarikat yang menyokong Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Jika kita terus membiayai syarikat global yang memberi kepada IDF, mengapa mereka nak berhenti - mereka hanya akan peduli jika jualan mereka menurun," katanya dalam video yang disukai lebih 34,000 kali.
Sebilangan rakyat Malaysia yang ditemui KiniTV di Kuala Lumpur dalam satu tinjauan pendapat bersetuju dengan pandangan Vivy.
"Saya fikir kali ini ia membuka mata kita, kepada masyarakat, kepada penduduk tempatan, bahawa kita sebagai komuniti, sebagai penduduk tempatan, mempunyai kuasa untuk mengatakan bahawa ini adalah bagaimana kita mahu dan inilah sepatutnya," kata seorang penyokong kuat kempen boikot yang hanya mahu dikenali sebagai Rabi.
Bagaimanapun individu lain yang ditemui bimbang langkah boikot akan memberi kesan terhadap pekerja dengan syarikat multinasional dilaporkan memendekkan waktu operasi akibat kekurangan pelanggan.
"Memang kita rasa apa yang terjadi tidak sepatutnya dan sangat zalim tapi beri kesan juga kepada rakan-rakan, ahli keluarga yang bekerja dekat syarikat tersebut.
"Jadi terpulanglah tapi setakat mana yang kita patut boikot? Atau sepatutnya kita bantu untuk derma. Pendapat saya kalau kita boikot pun benda itu akan beri kesan kepada pihak-pihak yang lain," kata seorang lagi individu yang hanya mahu dikenali sebagai Syikin.
Syarikat yang menjadi sasaran
Syarikat yang disasarkan dalam kempen boikot tersebut ialah McDonald's, Starbucks, KFC, Coca-Cola, Nestle dan Grab.
Banyak jenama diboikot selepas ia dipaparkan pada infografik viral yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
Mereka yang memboikot McDonald's misalnya, berkata McDonald's Israel memberi makanan percuma kepada tentera di sana, mendorong McDonald's Malaysia memaklumkan pemiliknya adalah Muslim dan telah menderma sebanyak RM1 juta kepada tabung kemanusiaan untuk Palestin.
Grab juga menghulur sumbangan kepada Mercy Malaysia untuk menyokong kerja-kerja kemanusian di Palestin selepas timbul gesaan syarikat itu diboikot berikutan kiriman Instagram isteri pengasasnya Chloe Tong yang dianggap sebagai pro-Israel.
Sementara itu Starbucks, mengheret kesatuan pekerjanya di Amerika Syarikat ke mahkamah kerana mendakwa pelanggaran tanda dagangan selepas kesatuan itu menerbitkan "Solidarity with Palestine" di media sosial.
Menariknya, tiada satu pun syarikat multinasional yang disasarkan pengguna Malaysia berada dalam senarai syarikat sasaran yang dikeluarkan oleh Pergerakan Boycott, Divest, Sanction (BDS), sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 untuk mempromosikan kempen boikot dan sekatan ekonomi terhadap Israel.
Beberapa jenama yang disasarkan oleh gerakan BDS termasuk Puma kerana menaja Persatuan Bola Sepak Israel, yang termasuk pasukan di kawasam Palestin yang diduduki, katanya.
Jenama lain ialah SodaStream, sebuah syarikat PepsiCo, yang kilangnya pernah terletak di kawasan Tebing Barat yang diduduki, di mana peneroka Israel memindahkan penduduk Palestin.
BDS berkata keputusan SodaStream memindahkan kilangnya, selepas gesaan memboikot syarikat itu, adalah bukti bahawa gerakan itu berjaya.
Minggu ini, ia menerbitkan panduan bagi mereka yang ingin memboikot syarikat terbabit bagi menyokong Palestin.
BDS berkata tidak seperti gerakan lain, gerakan itu lebih bersasar untuk memastikan impak lebih besar.
Ia menambah walaupun McDonald's tiada dalam senarai mereka, gerakan boikot di peringkat akar umbi mungkin memilih untuk melakukan boikot atas pelbagai sebab. Maklumat grafiknya termasuk logo McDonald's.
Kumpulan pro-Palestin Friends of Al Aqsa pula berkata Coca Cola perlu diboikot kerana mempunyai kilang di Atarot, yang terletak di penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Jualan, pendapatan merosot
Sementara kesan boikot terhadap jenama seperti McDonald's dan Starbucks terhadap konflik di Gaza tidak jelas, penyelidik berkata secara umumnya langkah memboikot Israel sebelum ini memberi kesan kepada ekonomi Israel.
Pada 2014, Laporan Pelaburan Dunia PBB menyatakan operasi Israeli Defence Force (IDF) di Gaza ketika itu telah mengurangkan pelaburan luar di Israel sebanyak separuh. Salah seorang penulis laporan itu berkata boikot adalah antara puncanya.
Ketika itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam boikot sebagai "antisemitik" dan berkata permintaan terhadap teknologi Israel akan mengatasinya.
Pada tahun berikutnya, badan pemikir antarabangsa Rand Corporation berkata Israel dijangka kehilangan AS$15 bilion, atau kira-kira lima peratus daripada KDNK, ekoran tindakan penentangan seperti boikot.
Di Malaysia, sejumlah cawangan McDonald's, KFC dan Starbucks dilaporkan mengalami kemerosotan jualan dan dalam sesetengah kes, memberi kesan kepada waktu operasi.
Penghantar makanan juga menyatakan pesanan kian berkurang.
Seorang penghantar makanan Grab yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini dia kini bergelut untuk mencari pendapatan bagi isteri dan tiga anaknya.
Katanya, dia biasanya meraih RM100 hingga RM150 sehari tetapi kini sukar untuk mendapat RM50 sehari. Itu belum mengambil kira belanja makanan dan minyak.
"Keadaan agak membimbangkan kerana ini saja sumber pendapatan keluarga.
"Ditambah dengan sewa yang sudah tertunggak dua bulan. Notis sudah dikeluarkan untuk kami kosongkan rumah paling lewat Jumaat ini."
Sementara itu, pengurus di sebuah rangkaian KFC berkata dia terpaksa memberi cuti kepada beberapa pekerja kerana kekurangan pelanggan.
"Biasanya kami sibuk ketika hujung minggu tetapi kini pekerja hanya main telefon (untuk isi masa).
"Ada pekerja yang diberi cuti dua hingga tiga hari. Tiada jualan. Keadaan memang sukar sekarang kerana boikot," katanya yang enggan dinamakan kerana tidak diberi kuasa oleh majikannya untuk bercakap dengan media.
Katanya lagi, ada pekerja yang mengeluh berkenaan masalah kewangan namun dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak dapat memberi mereka kerja lebih masa.
'Menjejaskan pekerja Melayu'
Dengan seruan boikot yang semakin meningkat ketika beberapa minggu pertama Gaza diserang, seorang pekerja kurang upaya di rangkaian McDonald's di Kelantan memuat naik video di media sosial menyeru agar boikot tidak dibuat.
Dalam video yang tular di TikTok itu, dia berkata tidak banyak majikan yang menerima orang kurang upaya sepertinya, dan dia berharap boikot tidak diteruskan agar dia boleh bekerja.
"Kasihan kami, jangan boikot kami," katanya dalam video itu yang sudah dipadam.
Usahawan kosmetik Vida kemudian menawarkan kerja untuknya - langkah yang disambut baik kalangan yang menyokong boikot.
Sejumlah penghantar makanan berkata, pengguna sekurang-kurangnya harus membuat lebih pertimbangan dalam keputusan mereka untuk memboikot.
"Sebagai penghantar makanan, walau ada ura-ura Grab sokong Israel, niat saya hanya untuk mencari rezeki melalui platform ini.
"Ada ramai pekerja Melayu yang niatnya hanya untuk cari rezeki, bukan sokong Israel," katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul.
Namun bukan semua yang terjejas secara langsung akibat boikot menentang langkah itu. Ada yang bergelut di antara hasrat untuk menyokong Palestin dengan keperluan untuk mencari pendapatan.
Seorang penghantar makanan separuh masa McDonald's yang hanya ingin dikenali sebagai Wan berkata, banyak manfaat dan insentif untuk mereka sudah ditarik balik sejak rangkaian restoran itu menjadi sasaran boikot.
Walaupun pendapatannya terjejas, dia tetap berasa serba salah.
"Mereka yang bergantung dengan menghantar makanan terjejas, tetapi kami juga sokong Palestin.
"Bagi McDonald's, ramai penghantar makanan adalah Melayu, jadi saya tak tahu bagaimana nak tanggapinya," kata lelaki berusia 40-an itu.
Harga melawan penindasan
Seorang lagi penghantar makanan, Adam Azman, 20, bagaimanapun sanggup berkorban.
"Boikot ini tercetus kerana Palestin - kerana kita sebagai Muslim perlu bersatu hati dengan apa yang menimpa mereka.
"Jadi, walaupun kita terkesan, kita perlu bantu (orang Palestin) sebanyak mungkin," katanya.
Pengerusi Gerakan BDS Malaysia Mohd Nazari Ismail memahami boikot berisiko menjejaskan pekerja, terutama mereka dalam sektor gig, namun berkata syarikat perlu memikul tanggungjawab.
Ia termasuklah melindungi pekerja mereka daripada boikot dengan mengecam serangan secara terbuka.
"Apa yang kita fokus sekarang adalah pembunuhan beramai-ramai warga Palestin yang tidak berdosa, dengan (setakat ini) 10,000 korbandan 4,000 daripadanya adalah kanak-kanak.
"Perjuangan untuk membela mereka yang dizalimi ada kos dan risikonya serta perlukan pengorbanan.
"Kami yakin rakyat Malaysia sanggup berkorban dari segi ekonomi bagi memastikan Israel berhenti melakukan kezaliman terhadap warga Palestin," katanya lagi.