Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi: Harakah boleh merayu
Diterbitkan:  Nov 8, 2023 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Mana-mana organisasi berita yang telah dibatalkan perakuan media mereka dibenarkan membuat rayuan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ini termasuk Harakah - akhbar milik PAS - yang telah dibatalkan kad akreditasi Jabatan Penerangan mereka semalam.

Kad itu diperlukan sebagai akses ke bangunan kerajaan dan menggunakan kemudahan media di Parlimen.

Fahmi Fadzil

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Fahmi tidak mendedahkan alasan di sebalik keputusan Jabatan Penerangan berbuat demikian.

“Sudah pasti mereka ada sebab-sebab mereka sendiri untuk tindakan tersebut diambil.

“Tetapi bukan hanya kepada Harakah tetapi sesiapa yang mungkin terkesan dengan keputusan seperti ini mereka perlu buat rayuan dan boleh diteliti apa tindakan susulan,” katanya.

Ketika ditanya secara khusus mengapa tindakan diambil terhadap Harakah, Fahmi berkata soalan itu perlu ditujukan kepada Jabatan Penerangan..

“Saya serah kepada Jabatan Penerangan. Kad perakuan media itu dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut.

Menurut salinan surat Jabatan Penerangan yang dilihat oleh Malaysiakini, pihak berkuasa memetik artikel Harakah pada 6 Nov yang mendakwa kerajaan "meminta maaf" dalam menyokong perjuangan Palestin.

Artikel bertajuk 'Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?' itu memetik Ketua Dewan Ulamak PAS Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), yang mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.

Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel di belakangnya manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.

Semakan Malaysiakini mendapati gambar itu kemudiannya telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.

Jabatan Penerangan, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital menyatakan laporan itu telah melanggar etika kewartawanan kerana menyiarkan "tuduhan tidak berasas" dan mengarahkan Harakah memulangkan semua pas medianya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengkritik Harakah di Parlimen berhubung artikel itu kerana cuba mengaitkannya dengan Israel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS