Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu terkejut - ‘Gua Musang beritahu kami dah tolak habuan itu’

Bersatu Kelantan meluahkan rasa terkejutnya dengan tindakan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor mendedahkan Mohd Azizi dalam mesyuarat Bersatu Sabtu lalu memberitahu mereka bahawa dia ditawarkan habuan untuk berbuat demikian tetapi menolaknya.

“Kenyataan ini betul datang daripada ahli Parlimen Gua Musang. Sangat mengejutkan saya. Hari Sabtu 4 Nov lepas kita ada mesyuarat Bersatu negeri.

“Dia turut hadir dan memberitahu bahawa ada broker politik menawarkan sejumlah wang yang lumayan campur lain-lain manfaat jika buat kenyataan sokong perdana menteri.

“Dia kata telah menolak kesemua tawaran itu. Kami bahkan ucap tahniah kepadanya atas penolakan itu. 

“Jadi amat terkejut sekali bila diberitahu mengenai kenyataan di Facebook miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azizi Abu Naim

Ketua Penerangan Bersatu Kelantan Bahari Mohamad Nor yang turut hadir dalam mesyuarat Bersatu negeri 4 Nov lalu turut memberitahu perkara sama kepada Malaysiakini hari ini.

“Ya juga saya hadir pada mesyuarat itu dan kami mengucapkan tahniah kepadanya kerana masih mempertahankan prinsip untuk tidak beralih sokongan.

“Jadi apabila dia buat pengumuman sebaliknya sudah pasti mengejutkan kami. 

“Jadi Bersatu negeri akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara ini dan kita serahkan kepada pimpinan pusat untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya yang juga Adun Gual Ipoh.

Mereka berkata demikian ketika diminta reaksi susulan pengumuman Mohd Azizi yang menyatakan sokongan kepada Anwar dan kerajaan persekutuan. 

Anwar Ibrahim

Malaysiakini telah cuba menghubungi Mohd Azizi tetapi tidak berjaya kerana telefonnya dimatikan. 

Kamarudin juga berkata dia cuba menghubungi Mohd Azizi susulan pengumuman itu namun gagal.

“Demikian juga telefon isteri dan pemandunya. 

“Jadi untuk sementara ini kita serah kepada pimpinan pusat untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya yang juga Adun Ayer Lanas.

Dalam pengumuman malam tadi, Mohd Azizi yang juga Adun Nenggiri berkata dia menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tindakan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Labuan Dr Suhaili Abdul Rahman, menyatakan sokongannya kepada Anwar dan didahului Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Sebelum ini Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mendakwa terdapat ugutan terhadap ahli parlimennya supaya menyokong kerajaan dan sedang melengkapkan buktinya.

SPRM yang didakwa membuat ugutan itu menafikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS