Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perhimpunan tersebut akan diadakan pada 16 November di Terengganu, diikuti 18 November di Kelantan dan perhimpunan munajat pada pagi 20 November di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya menerima memorandum “Gerakan Selamatkan Syariah” dari lebih 300 badan bukan kerajaan tersebut (NGO) berhubung isu tersebut.

"PN mengambil serius cabaran terhadap mahkamah syariah yang bermula dari kes Iki Putra sebelum ini,” katanya.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Sementara dalam cabaran terhadap peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh  Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan, tahun lalu.

Mereka mahu mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata. Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, sebelum ini ketika perbahasan di Parlimen meminta menteri agama mencelah dalam perbicaraan kes ini kerana ia melibatkan seluruh undang-undang mahkamah syariah.

"Implikasi kes ini sangat besar, sekiranya perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan bidang kuasa mahkamah syariah sebahagian besarnya akan terhapus.

"Isu perundangan Islam ini datang bersama isu akidah, kita tidak boleh berkompromi, ia merupakan suatu ketetapan Allah, persoalan akidah turut melibatkan syariat dan sistem dalam perundangan Islam," tegasnya.

Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa hal tersebut melibatkan bidang kuasa raja-raja di negeri-negeri dan memetik titah Sultan Selangor yang menitahkan kebimbangan mengenai situasi semasa tekanan ke atas sistem perundangan syariah dalam negara.

Pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Shah Alam, 28 Ogos lalu, Baginda meminta jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji lebih mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Tuan Ibrahim berkata isu itu merentasi parti politik.

Kesan pada 14 negeri

Sementara itu, Takiyuddin berkata jika mahkamah persekutuan membenarkan permohonan yang difailkan Nik Elin, kesemua enakmen yang sama di 14 negeri akan terbatal.

"Isu ini cukup-cukup besar dan perlu dianggap isu 3R (agama, kaum, raja) tapi tiada apa-apa tindakan walaupun laporan telah dibuat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS