Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gocoh' di Pasar Siti Khadijah kerana berebut pelanggan
Diterbitkan:  Nov 8, 2023 12:41 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung pergaduhan dipercayai kerana berebut pelanggan membabitkan beberapa individu di kawasan gerai makan laman Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata merujuk rakaman video berdurasi seminit 22 saat yang tular di media sosial sejak semalam, memaparkan pergaduhan yang berlaku di situ kira-kira jam lima petang, dua hari lalu.

Menurutnya pihak polis menerima dua laporan berkait kejadian itu yang melibatkan beberapa lelaki dan wanita.

“Video berdurasi seminit 22 saat itu memaparkan kejadian pergaduhan antara beberapa orang lelaki dan wanita sambil dileraikan oleh orang ramai.

“Siasatan pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada berebut pelanggan di antara peniaga-peniaga gerai makan di laman Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

“Kedua-dua belah pihak telah datang ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan polis, tetapi kedua-duanya juga menarik balik laporan polis tersebut beberapa jam kemudian,” katanya dalam kenyataan , hari ini.

Bagaimanapun Rosdi berkata pihak polis tetap meneruskan siasatan dan akan mengesan serta menangkap suspek-suspek terlibat.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan polis dengan tujuan untuk selesaikan kes adalah bukan penyelesaiannya kerana kesan yang dilakukan oleh mereka itu telah menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.

“Justeru, pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana tidak mahu orang ramai terbiasa dengan tindakan sendiri dengan membelakangi peruntukan undang-undang semasa,” katanya lagi.

Dia berkata saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di talian 012-8772106 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS